Jika Jepun berbangga dengan kehebatan para Samurai mereka, Inggeris dengan golongan Knight kebanggaan mereka. Tamadun MELAYU pula berbangga dengan kehebatan golongan Pendekar dan Hulubalang MELAYU. Selain daripada senjata utama dan simbolik MELAYU iaitu Keris, para pahlawan ini juga menggunakan berbagai lagi senjata lain untuk tujuan tempur.
1). Pedang.
Penggunaan pedang oleh para pahlawan MELAYU sememangnya diakui sejak dari dahulu sebelum era penjajahan Portugis ke atas Melaka lagi. Dan sebagai pengetahuan am, Kesultanan Perak mengabdikan Pedang Cura Si Manjakini sebagai alat kebesaran diraja. Antara jenis pedang lain yang digunakan oleh pahlawan MELAYU adalah Sundang dan juga Pedang Buaya Berenang.
2). Senapang atau Istinggar atau Terakol atau Pemuras
Dipercayai digunakan secara meluas sejak dari kerajaan MELAYU lama seperti Kedah Tua (Langkasuka), Pahang Tua (Inderapura), dan juga Kerajaan Pattani lama. Dipercayai Bukit Segumpal yang terletak di Pahang merupakan 'pioneer' dan juga 'successor' teknologi pembuatan senjata sebegini ketika era tersebut.
3). Meriam atau Rentaka
Digunakan sebagai senjata berat dalam pertempuran dan merupakan unsur yang mampu merubah keadaan pertempuran. Dipercayai beberapa negara lain seperti Belanda, Jepun, dan Britain turut menyimpan meriam lama yang berasal dari Tanah MELAYU di muzium mereka. Malahan, terdapat juga catatan lama tentang bantuan teknologi pembuatan meriam yang diberi oleh kerajaan Pahang Tua (Inderapura) kepada kerajaan Langkasuka serta kerajaan Cordoba sehingga ke empayar Turki Uthmaniyah. Sejauh mana kebenarannya, lebih elok kiranya ia diulas sendiri oleh pakar sejarah. Wallahualam...
4). Kerambit
Terdapat beberapa jenis senjata dengan konsep penggunaan yang sama seperti Lawi Ayam, Kuku Macan serta Lawi Itik. Seringkali dianggap sebagai senjata senyap yang sangat berbahaya di mana senjata ini sukar dijatuhkan dan mampu mendatangkan kerosakan yang teruk terhadap anggota badan ketika bertempur. Seringkali dipakai secara diselit di bahagian dalam pinggang seluar atau dibungkus dalam ikatan sampin.
5). Keris Selit
Merupakan versi Keris yang lebih kecil berbanding Keris Tempur yang selalunya bersaiz besar dan tebal. Keris ini dipakai dengan cara diselit dalam sampin dan selalunya sebagai 'pengiring' Keris Tempur yang dipakai dengan gah di pinggang para pahlawan MELAYU. Seringkali Keris Selit digunakan apabila si pemakai ingin melakukan pembunuhan senyap dan mengejut.
6). Badik
Terdapat beberapa jenis badik yang seringkali digunakan oleh pahlawan MELAYU seperti Tumbuk Lada dan juga Badik Rencong. Badik merupakan senjata yang sangat merbahaya dan dikhuatiri mempunyai bisa yang mampu memudaratkan musuh sekiranya berjaya dilukakan. Tidak hanya sinonim dengan para pemakai dari golongan lelaki, Badik juga sinonim digunakan oleh kaum wanita sebagai senjata perlindungan jarak dekat yang berkesan.
7). Lembing atau Tombak
Merupakan dua jenis senjata yang direka khas untuk kegunaan menikam musuh dan juga alatan memburu yang berkesan. Selalu dipasang pada sebatang kayu keras dan berkualiti tinggi yang berukuran sama tinggi dengan pemakainya. Terdapat juga Tombak atau Lembing yang dibuat hulu (selalunya dengan jenis 'Hulu Larik') serta digunakan sebagai senjata pertempuran jarak dekat seperti Keris.
8). Cokmar atau Belantan
Senjata pemukul yang selalunya dibina berat di bahagian hujung dan digunakan dengan cara menghayun. Senjata ini memerlukan pengendali yang berbadan tegap dan kuat untuk memastikan keberkesanannya. Selain Keris, terdapat juga alat Kebesaran Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong Malaysia yang diangkat dari senjata jenis ini.
9). Kain
Jangan terkejut, para pahlawan MELAYU juga menjadikan kain (semutar, sampin, sarung) sebagai salah satu senjata mereka. Kain dijadikan senjata dengan cara permainan menangkap, menjerut dan melibas hujung kain dengan tujuan menyekat serangan tangan kosong mahupun bersenjata oleh lawan. Lantas memudahkan si pemakai untuk menghantar jurus yang bersesuaian. Keberkesanan senjata ini mampu ditingkatkan dengan membasahkan sebahagian kain tersebut, serta digulung sehingga padu dan keras.
Selain itu, terdapat banyak lagi senjata yang digunakan oleh pahlawan MELAYU lama yang tidak disenaraikan di atas. Seharusnya kita berbangga dengan kebolehan permainan senjata yang berasal dari Tanah MELAYU Semenanjung Emas ini. Wallahualam.
Tengku Daeng Mawelle
No comments:
Post a Comment