Friday, January 15, 2010

SENI CINDAI

Seni Cendai (Cindai) merupakan suatu cabang ilmu kependekaran yang menggunakan kain sebagai senjata untuk mempertahankan diri dari serangan musuh. Asasnya adalah kain sarung dan selendang, namun ianya dapat diaplikasikan dengan menggunakan sebarang bahan yang berunsur kain(hampir sifatnya), mampu membelit dan menjerut seperti serban, bengkong, tali leher, kemeja, tali pinggang, seluar, stokin, tali kasut, kabel, tali, kain tudung, tanjak, semutar, kain sarung, Selempang dan lain-lain. 

Amalan berbengkong sudah menjadi lumrah harian orang dahulu. Lelaki MELAYU dulu-dulu biasanya boleh dikatakan setiap dari mereka wajib memakai atau membawa dua helai kain jika keluar rumah, yang disebut ‘kain lepas’[ nipis, panjang seperti selendang], satu untuk diikat di pinggang dan satu lagi untuk dililit pada kepala.

Konsep tempur Seni Cendai terbahagi kepada dua iaitu Cendai Jantan dan Cendai Betina. Cendai Jantan merujuk kepada konsep tempur yang berbentuk pukul memukul, melibas dan sentap manakala Cendai Betina diklasifikasikan mengikut bentuk serangannya seperti Jerut, Kalung, Tebar, Serkap, Gari dan Jerat.

Seni Cendai Pusaka Purba,
Sudah Diukur Baru Dipakai,
Jika Anggota Cacat dan Cedera,
Tidak Boleh Tuan Memakai.

Seni Cendai Pusaka Purba,
Disandang Mai Dihujung Bahu,
Jangan Menyerang Membabi Buta,
Jerat Maut Sedia Menunggu.

Seni cindai pusaka purba,
Disandang oleh Panglima MELAYU,
Kalau engkau sedah sedia,
Aku telah sedia menunggu.

Kain Cindai dari Sulawesi,
Dibawa oleh Puteri Meliwa,
Hikmat Gayung sangat sakti,
Siapa menyerang menjadi mangsa.

Panglima Meruku hulubalang Bugis,
Dato'Hang Tuah pernah bersua,
Inilah satu pusaka Bugis,
Peganglah AMANAH sumpah setia.

Dalam Adab mempelajari Seni Cendai, sebelum boleh dibuat pakai, kain yang ingin dibuat bergelanggang perlulah disukat mengikut sukatan tubuh pesilat masing-masing sebagaimana senjata keris(susunan ibu jari) dan parang lading ataupedang pendek (mengikut ukuran lilitan kepala). Kaedah ukur tubuh ini diajar mengikut petuanya tertentu agar saiz dan ukurannya adalah sesuai dengan pemakainya. Pengisian Doa dan Isim-isim Cendai juga akan diajar agar menambah "bisa" kepada kain tersebut. 

Dengan kaedah simpulan tertentu, kain sarung mampu dijadikan sebagai alat untuk memukul sasaran lemah pihak musuh. Dengan teknik dan latihan yang sempurna, sehelai kain mampu untuk memecahkan objek-objek keras. Teknik sebegini dipanggil Buah Pukulan Cendai. Terdapat 3 kaedah simpulan semuanya yang di ajar dalam Keilmuan Silat Gayong iaitu simpulan kalong, tangkai dan segenggam.

Bagi kebanyakan pendekar, seni keris merupakan seni tertinggi, namun ramai yang tidak tahu ada lagi seni yang lebih rahsia, contohnya ‘seni cindai’ dalam silat gayong yang menggunakan kain.

Dalam Silat Seni Gayong Ilmu Seni Cindai diiktiraf sebagai permainan yang tertinggi bukannya Ilmu Seni Keris. Sedangkan MELAYU memang terkenal dengan Keris. Apatah lagi Silat Seni Gayong yang dikatakan berasal dari ilmu Persilatan Laksamana Hang Tuah. Bukankah Hang Tuah mempunyai ilmu Keris yang sangat hebat. Kenapa Silat Seni Gayong tidak mengiktiraf ilmu Seni Keris sebagai Ilmu peringkat Tertinggi.

Di dalam Seni Silat Gayong, ilmu seni Cindai itu pertama kali diperturunkan oleh Mahaguru Dato Meor (Pengasas Seni Silat Gayong) kepada anak perempuannya Siti Aisyah dan mula diajarkan ilmu ini kepada murid-murid yang terpilih hanya bermula pada tahun 1964. Salah seorang anak muridnya yang terawal yang diajarkan ilmu Seni Cindai ini ialah Paduka Dato Raja Abdul Majid b Raja Mat Isa, barulah Mahaguru Dato Meor perturunkan kepada gurulatih-gurulatih di Singapura.

Dalam peristiwa Pertarungan Tuah dengan Jebat, Ketika keris Taming Sari berada di tangan Hang Tuah, maka Hang Jebat tahu amat sukar untuk mengalahkan seni keris, tambahan pula, keris yang dipakai oleh Hang Tuah adalah Taming Sari, maka Hang Jebat teringat akan pesanan guru mereka Sang AdiPutra bahawa masih ada lagi seni lain yang boleh mengatasi seni keris, maka hanya satu saja senjata yang mampu mengalahkan Keris Taming Sari iaitu Seni Cindai. 

Lalu Hang Jebat dengan pantas menarik kain langsir istana untuk dijadikan senjata, tapi malangnya ketika kain itu jatuh, ia menyelimuti tubuh Hang Jebat dan membatasi pergerakannya. Maka ketika itulah Hang Tuah mengambil kesempatan menikam sahabatnya itu.

Sekiranya Jebat sempat menggunakan ilmu Seni Cindai yang diisikan dengan kebatinan maka belum tentu Tuah dapat membuang si Jebat. Namun Jebat tidak terbunuh serta merta malah, turun mengamuk, membunuh akan sekelian yang menentangnya. Ada yang mengatakan ketika inilah Jebat menggunakan Ilmu Seni Cindai Basah akibat darah yang mengalir membasahi kain Cindai yang Jebat jadikan bengkung untuk menahan pendarahan.Hang Jebat hanya mati setelah Hang Tuah membuka balutan kain cindai

"Selendang Dililit di badan sendiri,
Berpencak tari langkah diperhalusi,
Gerak Batin dizahir sekali,
Jurus Cindai menjadi sakti."

Justeru itu kerana sejarah inilah Silat Seni Gayong menganggap permainan Seni Cindai ialah permainan tertinggi sekali. Kerana Pesan Sang Adi Putra dan Petua Sang Persantanala hanya Ilmu Seni Cindai yang diisi kebatinan yang mampu mengalahkan Kesaktian Keris Taming Sari yang terkenal itu.

Memang tidak dinafikan Ilmu Seni Cindai bukan sekadar permainan zahir semata-mata, ia bergabung sekali dengan kebatinan. Dulu Mahaguru Dato Meor pernah menunjukkan ilmu kebatinan Seni Cindai di Pantai Cahaya Bulan Kelantan pada suatu ketika dulu. Dengan mengunakan seutas tali Tangsi, beliau mematahkan dahan pokok Rhu yang sebesar betis seorang dewasa.Sedangkan ranting Pokok Rhu sangat liat untuk dipatahkan, apatah lagi dahannya. Inikan pula dengan seutas Tali Tangsi yang begitu halus. 

Berbalik kepada kisah pertarungan Tuah dan Jebat, Cerita sebab kematian Hang Jebat di tangan Hang Tuah sebenarnya banyak versi jika kita membaca dari berbagai sumber, namun apa yang cuba saya sampaikan dalam artikel ini ialah masih ada lagi seni yang menggunakan ‘kain’ untuk berdepan dengan musuh. 

Namun harus diingat, seni cindai Batin ini perlu diisi dengan kebatinan peringkat tinggi dan biasanya hanya murid-murid terpilih sahaja yang diajar ilmu ini. Tapi jika belajar yang zahir saya rasa sudah ramai yang dapat menguasainya. Zahir dalam Ma’arifat Tajali dalam Hakikat. Inilah sejarah Seni Cindai sebenarnya dan mengapa ianya dianggap permainan tertinggi dalam Silat Seni Gayong. 

"Kita Bentara Guru Sang Adi Putra
telah menyatu dengan Sang Persantanala.
Kita mahu mengajar penderhaka.

Kita seru pada patih
patih tersungkur di telunjuk kita.
Kita jampi di sebilah keris
Keris menikam ke perut Penderhaka.

Jebat berkubur tanpa pusara.
Ini Cindai Selendang Kuning
Pakaian Sakti tujuh Puteri,
Selendang asal wali Sembilan,

Sembilan tenunan Sembilan temuan
Bangkitan terca Bukit Siguntang
Simbat Maut pada petualang

Alu Patah pada celaka.
Kalung Puteri pada durjana
Raja Beradu pada yang derhaka.

Kita libas di angin lalu
angin melanda seteru madu
Tuah menyesal diiringi pilu.
Sesungguhnya Duhai Paduka Memanda…
Dalam Maarifat akulah Jamaluddin alKubra.

Dalam Silat akulah Sang Adi Putra
Dalam Hakikat akulah Sang Persantanala.
Guru Hulubalang lima bersaudara
Inilah Diriku Tubuh Bergelar Badan Bernama"

Sekian. Semoga bermanfaat. Bissirril Al-Fatihah

(Mahaguru Dato Meor Abdul Rahman Bin Uda Mohd Hashim)

Tengku Daeng Mawelle

No comments:

Post a Comment