Friday, March 14, 2014

HAKIKAT LAILATUL QADAR

Kebanyakan dari kita bila sebut sahaja malam lailatul qadar, yang mereka ingat hanya keajaiban pada bulan Ramadan. Seumpama air perigi kering akan menjadi penuh (melimpah). Pokok kayu kayan akan jadi tunduk (rebah) menyembah bumi dan macam-macam lagi perkara pelik-pelik dan sebagainya. Sedangkan intisari daripada maksud lailatul qadar itu, sebenarnya adalah bermaksud, “Dari sifat seorang yang buta mata hatinya bertukar kepada cerah mata hatinya kerana memandang dan mengenal Allah s.w.t”.

Menurut Imam Asy-Syarani, menterjemahkan erti dan makna lailatul qadar itu sebagai “suasana hati”. Berkata beliau lagi, “Apabila engkau ingin hati mu hidup, iaitu hidup yang tidak ada matinya sesudahnya lagi, maka keluarkanlah engkau dari menyandarkan harapan kepada makhluk. Matikan hawamu dan iradatmu. Di waktu itulah engkau mulai akan diberi oleh Allah hidup yang sejati, hidup yang tak ada mati sesudahnya lagi. Kaya yang tak ada miskin sesudahnya lagi. Pemberian yang tak ada henti-hentinya lagi. Lalu diangkat nilai engkau dalam hati hamba-hambaNya. Sehingga engkau tidak akan sesat untuk selama lamanya”

Apakah erti hidup yang tiada mati sesudahnya? Ertinya adalah merujuk kepada ilmu mengenal Allah. Sesudah kita berjaya sampai kepada tahap ilmu mengenal Allah, ilmu itu akan hidup di dalam hati hati kita selama lamanya, yang tidak akan ada kesudahannya dan tidak akan pernah padam dan terhapus selama lamanya.

Inilah yang akan kita bawa, sampai hari kiamat dan hari menghadap Allah s.w.t. Apabila kita telah berjumpa dengan ilmu mengenal Allah, ingatan hati kita kepada Allah tidak akan pernah terlupus walaupun sesaat, walaupun ketika jasad sedang tidur. Sesudah kita mengenal Allah (mendapat lailatul qadar) iktikad atau pegangan hati kita, akan berubah sepenuhnya, daripada bersifat gelap kepada terang, daripada bersifat mati bertukar kepada hati yang sentiasa hidup. Yang tetap hidup dan tiada mati itu, adalah ingatan kita kepada Allah, ianya akan tetap hidup di hati kita, yang tidak akan ada matinya, bukan bermakna tidak mati jasad, tetapi tidak mati ingatan kita kepada Allah. Bagi yang mendapat lailatul qadar, ia juga tidak akan sesat selamanya.

Apabila ingatan kita kepada Allah tidak pernah mati dan tidak pernah padam, di situlah segala kebesaran Allah akan dapat kita miliki dan menjiwainya dengan penuh pengertian. Pengertian itu nantinya akan terzahir keluar, sehingga melimpah ruah. Rasanya seumpama kita ini kaya, yang kekayaan itu, tidak akan menemui jalan kemiskinan. Kelazatan zhouq yang tidak pernah menemui jalan luntur, iaitu kaya dengan sifat sabar, taat, patuh, tawakal, taqwa dan sebagainya. Pemberian kekayaan seumpama itu akan berterusan dan berpanjangan hidupnya di dalam hati hati kita, selagi akal bersifat waras terhadap Allah.

Inilah intisari maksud lailatul qadar yang sebenarnya. Perjalanan dari bersifat gelap menuju kepada yang bersifat terang. Dari bersifat mati ingatan bertukar kepada bersifat ingatan kepada Allah sentiasa hidup. Ingatan kepada makhluk dengan sendirinya akan mati dan terpadam. Mati hawa nafsu. Mati kehendak dan mati keinginan selain Allah. Mati harapan kepada makhluk, bertukar harapan kepada Allah. Dari bersifat sayangkan makhluk, menuju bersifat sayangkan Allah. 

Menurut Ar-Rumi pula, menterjemahkan lailatul qadar itu sebagai; “Diri yang telah terjual"Berkata lagi beliau; “Allah telah membeli jiwa kita, untuk Dia. Bayarannya adalah syurga. Sebab itu tidak seorang pun yang dapat membelinya dan menawarnya sampai akhir zaman. Suatu barang yang tidak boleh dijual dua kali”.

Bagi yang mendapat lailatul qadar, diumpamakan kita serahkan dan mengembalikan diri kita kepada Allah, ianya tidak lagi boleh diambil balik. Setelah pertama kali dijual, ia tidak boleh dijual buat kali kedua. Inilah kedudukan iktikad atau pegangan hati orang makrifat, yang tidak ada duanya berbanding Allah. Sekali kita berserah diri kepada Allah, jangan hendaknya berpatah balik. Pupuklah hati supaya buah tawakal dan buah berserah boleh bertambah dengan subur.

Bagi yang mengenal Allah (yang mendapat anugerah lailatul qadar) mereka tidak akan berpaling lagi dari Allah. Walaupun didatangi musibah, penyakit, kemiskinan, dan kepayahan hidup, mereka tidak akan berpaling dari berserah diri dan bertawakal kepada Allah. Tidak ada lagi erti kecewa dan erti penyesalan di hati mereka yang mengenal Allah. Hatinya kepada Allah tetap utuh dan tidak mudah terpesong dengan kekayaan dan kemewahan. 

Mereka sedar yang diri mereka telah dibeli oleh Allah dan kita telah menjualkannya kepada Allah. Akad jual beli, antara kita dengan Allah telah dikira selesai. Segala sifat, kelakuan, asma dan zat yang mendatang di atas diri kita ini, dianggap telah terjual dan bukan lagi menjadi milik kita. Semua sifat yang mendatang, telah dianggap seumpama anugerah dari Allah kepada kita, kita ini tidak ubah seperti pelakon yang cuma sekadar melakonkan saja dari apa yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita.

Oleh itu terimalah segalanya dengan ucapan terima kasih atau syukur. Inilah pengertian lailatul qadar menurut kaca mata ilmu makrifat. Kita sebenarnya telah mati dan telah menjual sifat perangai, sifat jasad, sifat nama dan sifat zat kita kepada Allah. Jual sifat ego, sifat marah, tinggi diri, dengki, tamak harta dunia, putus asa dan sebagainya. Kita serahkan segala galanya ke atas kebijaksanaan Allah, Allahlah yang menentu dan mengatur kehidupan kita.

Firman Allah, “Turun malaikat dan roh padanya, dengan izin Tuhan mereka membawa dari tiap-tiap perintah”. (Al-Qadar:4)

Roh kita telah ditugaskan bagi membawa perintah Allah. Di antara perintah itu, adalah supaya roh membawa segala sifat anggota panca indera, perangai yang dilakukan oleh anggota. Nama yang dipanggil anggota dan zat roh itu sendiri supaya dapat dikembalikan semula hak Allah kepadaNya. Bermula lailatul qadar itu, adalah di saat diri kita diserahkan kembali kepada Allah. Iaitu di saat kita mengenal roh dan mengenal Allah.

Malam lailatul qadar juga, lebih dikenali sebagai malam seribu bulan (1000 bulan). Seribu bulan itu bermaksud terang benderang, seumpama malam yang gelap gelita telah diterangi, disuluh dan telah ditemani oleh seribu biji bulan, cuba bayangkan betapa terangnya bumi ini, apabila ianya diterangi dan disuluh oleh seribu biji bulan. Begitulah terangnya hati mereka yang mendapat cahaya lailatul qadar Allah dengan hanya membaca sepotong ayat dari ayat-ayat Allah, barakahnya seumpama hati kita telah diterangi dan disuluh oleh seribu bulan. Cuba bayangkan nilaian kematangan akal semasa berumur satu tahun, dibandingkan akal mereka yang berumur seribu tahun. Inilah kelebihan dan kematangan akal bagi yang mendapat malam lailatul qadar (malam seribu bulan). Secara tiba-tiba boleh mengubah akal yang jahil dalam sekelip mata kepada akal yang berilmu, Mengenal Allah.

Begitulah nilai terangnya hati mereka yang mendapat anugerah lailatul qadar. Dari bersifat lalai bertukar kepada yang bersifat ingat kepada Allah. Bagi mereka yang buta mati hatinya, walaupun dengan kehadiran seribu bulan dan sejuta bintang sekalipun, akal dan hati mereka akan tetap berada dalam kegelapan. Manakala bagi mereka yang mengenal Allah (mendapat anugerah lailatul qadar), walau alam tidak diterangi bulan dan tidak diterangi bintang sekali pun, hati mereka sudah cukup terang oleh cahaya Allah (cahaya makrifat kepada Allah). Inilah pengertian lailatul qadar mengikut suluhan makrifat.

Kisah bagaimana Saidina Umar Al Khatab memeluk Islam. Pada zaman Rasulullah, ada seorang hamba Allah, yang terkenal dengan ganas dan bengisnya, telah pergi untuk membunuh Baginda Rasulullah S.A.W . Didapati adik perempuan kandungnya dan suaminya sendiri telah memeluk Islam secara diam-diam. Setelah mendapat berita itu bertambah marah dan lebih membakar hatinya kerana adiknya sendiri telah mengucap 2 kalimah syahadah.

Maka Beliau yang dalam perjalanan membunuh Rasulullah S.A.W, berpatah balik ke rumah adiknya dengan tujuan memastikan apakah berita itu benar. Bila tiba ke rumah adik perempuannya, didapati adik dan suaminya sedang membaca sesuatu. Beliau cuba merampasnya dengan tujuan ingin membuang potongan bacaan itu, tetapi dihalang oleh adiknya, sehingga beliau terpaksa bersikap kasar dengan menampar pipi adiknya sehingga terjatuh. 

Dengan terjatuh adiknya tadi, sehingga terlepas cebisan potongan ayat dari gengamannya. beliau sangat kehairanan mengapa adiknya begitu berani mempertahankan ayat Al-Quran, lalu beliau membaca cebisan potongan ayat itu dan beliau pun tiba-tiba menangis, bergenang air mata, bercucuran jatuh membasahi pipinya. 

Secara tiba-tiba didatangi suasana yang luar biasa, dari bengis bertukar lembut, dari panas bertukar sejuk dan dari jahil bertukar alim. Dalam masa sesaat, suasananya telah berubah dan mengubah hatinya yang gelap itu, seumpama diterangi oleh seribu bulan. Dengan hanya sepotong ayat sahaja, telah membuka pintu hatinya secara mendadak, dari hatinya bersifat panas, kini kembali bertukar menjadi sejuk.

Ayat itu telah meresap ke dalam lubuk dada yang membuatkan hatinya berubah secara tiba-tiba. Lalu beliau bertanya “Di mana Muhammad sekarang? Bawa aku kepadanya! Aku akan masuk Islam”. Itulah kisah Umar bin Al khattab . Syaidina Umar merasa hatinya telah dipukul oleh ayat berkenaan. Inilah hakikat lailatul qadar yang membawa perubahan yang mendadak, kenikmatan dan keberkatan secara tiba tiba bagi menggambarkan dan menunjukkan maksud lailatu qadar yang sebenar.

Dengan hanya sekelip mata, beliau sudah dapat merasai dan menikmati keberkatan lailatul qadar, sudah dapat mengubah sifat kerohaniannya. Inilah yang dikatakan lailatul qadar ataupun lebih dikenali sebagai Hidayah, iaitu hari yang diperingati. Hari yang indah dan saat-saat yang paling bersejarah dan yang paling diingati dalam kehidupan seseorang insan menuju Allah S.W.T. 

Semoga Bermanfaat Buat Bacaan Kalian , Jika ada yang tidak meyakini penerangan saya mengenai hakikat sebenar Lailatul Qadar , Saya akan doakan kalian semoga kalian diberi Rahmat Lailatul Qadar oleh Allah S.W.T. 

"Maka saat itu gelap malam tersembunyi cahaya mentari siang yang dapat mensirnakan gelap malam. Satu saat saja terangnya mentari rohani dapat mengatasi kebingungan malam Itulah cahaya ilahiyah , Lailatul Qadar-Malam kemuliaan seseorang insan , malam dimana hati seorang hamba hadir dan menyaksikan ‘pancaran’ Cahaya Tuhannya. Di dalamnya ia merasakan kenikmatan dari cahaya pencapaian dan kedekatan (kepada Tuhannya) dari gelap malam sampai terbitnya Matahari Dzat Ilahiyah, yang memfanakan dengan pancaran zatiyah-nya semua sinar bayangan-bayangan dan pantulan-pantulan secara mutlak". 

Tengku Daeng Mawelle

No comments:

Post a Comment