Saturday, January 12, 2013

SAHABAT NABI YANG PALING KAYA DERMAWAN

Abdul Rahman ibn Auf atau nama sebenarnya Abdu Amrin, Lahir pada tahun 580 Masehi iaitu 10 Tahun selepas Tahun Gajah. Beliau merupakan seorang sahabat Rasulullah Saw yang terawal memeluk agama Islam dan juga termasuk dalam kalangan 10 sahabat Nabi Saw yang dijamin syurga. Beliau diberikan nama Abdul Rahman oleh Rasulullah Saw selepas memeluk Islam, dua hari selepas Saidina Abu Bakar As-Siddiq memeluk Islam.

Abdul Rahman bin Auf adalah seorang saudagar yang terkaya di Mekah dan Madinah pada suatu ketika dahulu, Beliau diberi kelebihan oleh Allah SWT dengan memiliki kekayaan dan harta yang melimpah ruah melalui hasil perniagaannya, Yang bermula kecil-kecilan di pasar sehinggalah menjadi begitu besar. Hartanya begitu banyak sehinggakan beliau banyak memerdekakan para hamba dari tuannya dan sentiasa bersedekah pada fakir miskin dan anak yatim. 
 
Kekayaan dan kemewahan yang dimiliki beliau sedikit pun tidak membuatkannya lupa diri. Abdul Rahman bin Auf seorang yang sangat Zuhud dan merendah diri. Beliau sentiasa menafkahkan hartanya pada jalan yang disukai dan diredhai Allah. Dikhabarkan beliau pernah menafkahkan 40,000 dirham emas, 40,000 dirham perak, 500 ekor kuda dan 1500 ekor unta untuk keperluan perjuangan menegakkan Islam. 

Beliau bukan saja membantu perjuangan dakwah Islam dengan harta malah dengan nyawanya ketika perang Uhud dan Badar. Dalam perang Uhud Beliau pernah cedera parah di seluruh badan dan kakinya dengan 20 bekas tikaman dan hiris dengan pedang. 
. 
Waktu sebelum perang tabuk, Saat Baginda Nabi Saw menyeru sahabat bersedekah, Abdul Rahman bersegera pulang ke rumahnya lalu diambil sejumlah wang simpanan dan beliau datang kepada Baginda SAW sambil berkata, "Ya Rasulullah, saya ada 4,000 dinar. Daripada 4,000 dinar ini saya berikan 2,000 dinar kepada jalan Allah SWT dan saya simpan 2,000 dinar untuk modal perniagaan saya. 

Lalu Rasulullah SAW sekali lagi berkata kepada Abdul Rahman: Mudah-mudahan Allah memberkati pada apa yang telah engkau berikan dan mudah-mudahan juga Allah memberkatimu pada harta yang engkau simpan." Jika ada perperangan beliau orang pertama yang sering menjadi pembiaya angkatan perang Muslim dengan membelikan pelbagai senjata dan keperluan jihad menentang musuh.
. 
Pernah ketika Kota Madinah menghadapi situasi kering menyebabkan kekurangan bekalan makanan dan perniagaan agak merosot. Maka saat itu, Baginda Nabi Saw amat berharap pada sahabat dapat menginfakkan harta ke jalan Allah SWT. Dan seperti biasa sahabat Nabi Abdul Rahman Bin Auf tampil memberikan pada Rasulullah Saw, 200 Auqiyyah emas (kira-kira 5580 gram emas). 

Infak dari Abdul Rahman tidak pernah berhenti, Asal ada perlu bantuan untuk membantu perjuangan Islam mesti dia akan tampil, Orang miskin dan para hamba begitu sayang sekali padanya kerana beliau pernah menyalurkan separuh hartanya untuk menolong semua orang susah dan membebaskan para hamba. Sungguh luar biasa sifat dermawan Sahabat Nabi, Abdul Rahman Bin Auf. Kagum betul rasanya.
. 
Pada tahun 31 Hijrah, setelah menempuh hidup di dunia yang fana ini selama 74 tahun, berpulanglah tokoh sahabat besar ini ke rahmatullah. Ketika beliau sedang tenat Ummul Mu’minin Aisyah r.a pernah menawarkan untuk kebumikan jenazahnya nanti di sisi Makam Nabi, Tetapi Abdul Rahman bin Auf malu jika diberi kedudukan yang sedemikian tingginya untuk berkubur di samping Rasulullah Saw. 

Dan ia memberitahu dia pernah berjanji dengan Uthman Bin Mazh’un bahawa jika salah satu di antara mereka berdua meninggal dunia lebih dahulu, maka ia akan berkubur di samping kuburan kawannya yang lain. Ada riwayat mengatakan jumlah keseluruhan hartanya termasuk asetnya berjumlah 3,200,000 dinar. 
.
Jenazah beliau telah dikebumikan di Baqi dan disembahyangkan oleh Saiyidina Uthman Bin Affan, Zubair Ibnul Awwam dan lain-lain tokoh sahabat. Tapi sayang Perkuburan Baqi ini telah dimusnahkan oleh puak Wahabi. 

Perkuburan al-Baqi` yang juga dikenali sebagai Jannatul Baqi` terletak di Madinah, Arab Saudi. Ia adalah kawasan lapang yang menempatkan tanah perkuburan bagi penduduk-penduduk Madinah termasuk ramai ahli keluarga dan para sahabat Baginda Nabi Saw. Di sekeping tanah yang suci ini juga adalah tempat persemadian Ibunda Rasulullah Saw, 4 orang Imam yang mulia, iaitu Imam Hasan, Imam Zain al-Abideen, Imam Mohammad Baqir dan Imam Jaffar Sadiq dan putri yang dikasihi Nabi Muhammad yang juga adalah penghulu wanita di syurga, Sayiddina Fatima Az Zahra telah disemadikan di situ. Di samping itu, beberapa tokoh penting dalam Islam  berserta dengan para Sahabat mulia Rasulullah Saw turut dikebumikan di sana.

Tanggal 21 April 1925, bersamaan 8 Syawal 1345 Hijrah, Kerajaan Arab Saudi yang memerintah telah mengebom dan memusnahkan makam suci serta memusnahkan juga semua struktur kuburan. Alasan mereka adalah berpandukan ajaran utama fahaman dari puak Wahabi yang percayai bahawa menziarahi pusara-pusara dan makam-makam adalah memakmurkan berhala dan perbuatan yang terkeluar dari Islam. Mereka menganggap ianya adalah bid’ah dan mendatangkan dosa. Hakikatnya, tujuan sebenar mereka adalah untuk menjauhkan umat Islam dari sejarah silam mereka agar mereka menjadi daif terhadap sejarah sendiri dan juga tokoh-tokoh yang berpengaruh dalam Islam. 

Tengku Daeng Mawelle

No comments:

Post a Comment