Saturday, January 12, 2013

KISAH UWAIS AL-QARNI

Suatu hari ibunya memberitahu kepada Uwais al-Qarni bahawa dia sangat berhajat untuk mengerjakan ibadat haji di Mekah. Kerana kemiskinan, Uwais al-Qarni tidak mampu untuk mencari perbelanjaan buat ibunya kerana pada zaman itu kebanyakan orang pergi menunaikan haji dari Yaman ke Mekah perlu menyediakan beberapa ekor unta yang dipasang di atasnya ‘Haudat’.

‘Haudat’ ialah sebuah rumah kecil yang diletakkan di atas unta untuk melindungi panas matahari dan hujan. Selesa namun perbelanjaannya mahal. Uwais tidak mampu untuk menyediakan yang demikian. Beliau tidak memiliki unta dan juga tidak mampu untuk membayar sewa.

Pada suatu hari, ibu Uwais al-Qarni yang semakin uzur berkata kepada anaknya, “Anakku, mungkin ibu dah tak lama lagi akan bersama dengan kamu, ikhtiarkanlah agar ibu dapat mengerjakan haji.”

Uwais al-Qarni mendapat suatu ilham. Beliau telah membeli seekor anak lembu yang baru lahir dan sudah habis menyusu. Beliau membuat sebuah rumah kecil untuk anak lembu tersebut di atas sebuah bukit. Apa yang beliau lakukan ialah pada petang hari beliau akan mendukung anak lembu itu naik ke atas bukit.

Manakala, pagi esoknya beliau akan mendukung lembu itu turun dari bukit tersebut untuk diberi makan. Itulah yang dilakukannya setiap hari. Ada kalanya dia mendukung lembu itu mengelilingi bukit di mana tempat untuk lembu itu makan. Perbuatan yang dilakukannya ini menyebabkan orang mengatakan beliau kurang waras.

Memang pelik, membuatkan rumah untuk lembu di atas bukit, kemudian setiap hari mengusung lembu, petang dibawa naik, pagi dibawa turun bukit. Namun sebenarnya jika dilihat di sebaliknya, Uwais al-Qarni adalah seorang yang bijak.

Lembu yang asalnya hanya 20kg, selepas enam bulan lembu itu sudah menjadi 100kg. Otot-otot tangan dan badan Uwais al-Qarni pula menjadi kuat hinggakan dengan mudah dia mengangkat lembu seberat 100kg turun dan naik bukit setiap hari.

Sebenarnya perbuatan Uwais al-Qarni selama ini adalah satu latihan dan persediaan untuk beliau membawa ibunya mengerjakan haji. Beliau telah mendukung ibunya dari Yaman sampai ke Mekah dengan kedua tangannya. Di belakangnya beliau meletakkan barang-barang keperluan seperti air, roti dan sebagainya.

Lembu yang beratnya 100kg boleh didukung dan dipangku inikan pula ibunya yang lebih ringan. Beliau membawa (mendukung dan memangku) ibunya dengan kedua tangannya dari Yaman ke Mekah, mengerjakan Tawaf, Saie dan di Padang Arafah dengan senang sahaja. Dan beliau juga memangku ibunya dengan kedua tangannya pulang semula ke Yaman dari Mekah.

Setelah pulang semula ke Yaman, ibunya bertanya: “Uwais, apakah yang kamu doakan sepanjang kamu berada di Mekah?”

Uwais al-Qarni menjawab: “Saya berdoa minta supaya Allah mengampunkan semua dosa-dosa ibu”.

Ibunya bertanya lagi: “Bagaimana pula dengan dosa kamu?”

Uwais Al-Qarni menjawab: “Dengan terampun dosa ibu, ibu akan masuk syurga. Cukuplah ibu redha dengan saya, maka saya juga masuk syurga.”

Ibunya berkata lagi: “Ibu inginkan supaya engkau berdoa agar Allah hilangkan sakit putih (sopak) kamu ini.”

Uwais Al-Qarni berkata: “Saya keberatan untuk berdoa kerana ini Allah yang jadikan. Kalau tidak redha dengan kejadian Allah, seperti saya tidak bersyukur dengan Allah Taala.”

Ibunya menambah: “Kalau ingin masuk ke syurga, mesti taat kepada perintah ibu. Ibu perintahkan engkau berdoa.”

Akhirnya Uwais Al-Qarni tidak ada pilihan melainkan mengangkat tangan dan berdoa. Beliau lalu berdoa seperti yang diminta oleh ibunya supaya Allah menyembuhkan penyakit putih sopak yang dihidapinya itu. Namun kerana dia takut masih ada dosa pada dirinya, dia berdoa: “Tolonglah ya Allah! Kerana ibuku, aku berdoa hilangkan yang putih pada badanku ini melainkan tinggalkanlah sedikit.”

Allah SWT menyembuhkan penyakit sopaknya serta merta, hilang putih sopak di seluruh badannya kecuali tinggal satu tompok sebesar duit syiling di tengkuknya. Tanda tompok putih kekal pada Uwais al-Qarni inilah tanda pengenalan yang disebut Rasulullah Sallahu Alayhi Wasallam kepada Sayyidina Umar Al-Khattab Radhiyallahu dan Sayyidina Ali Bin Abi Thalib Radhiyallahu. 

Sepertimana yang Rasullullah Sallahu Alayhi Wasallam sabdakan: “Sesungguhnya akan datang kepadamu seorang lelaki dari Yaman yang biasa dipanggil dengan Uwais. Dia tinggal di Yaman bersama ibunya. Dahulu pada kulitnya ada penyakit belang (berwarna putih). Lalu dia berdoa kepada Allah, dan Allah pun menghilangkan penyakit itu, kecuali tinggal sebesar wang dinar atau dirham sahaja. Barangsiapa di antara kalian yg menemuinya, maka mintalah kepadanya untuk memohon ampun kepada Allah untuk kalian.”

Ingatlah saudara ku sekalian, Redha Allah itu terletak pada redha kedua orang tua kita dan murka Allah juga terletak pada murka kedua orang tua. Mudah-mudahan, kisah Uwais al-Qarni ini menjadi inspirasi kepada kita semua agar berbakti kepada ibu bapa selagi hayat mereka ada.

Tengku Daeng Mawelle

No comments:

Post a Comment