Tuesday, July 26, 2016

AL FATIHAH

Dalam hadis riwayat al-Bukhari daripada Abu Said Rafi al-Mualla berkata: “Rasulullah saw bersabda kepadaku: Mahukah kamu aku beritahu surah paling istimewa dalam al-Quran sebelum kamu keluar dari masjid? Kemudian Baginda memegang tangan saya. Ketika kami hendak keluar saya berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya tuan tadi berjanji akan mengkhabarkan surah paling istimewa dalam al-Quran kepada saya.” Baginda bersabda: “Alhamdulillahi rabbil ‘alamin, iaitu tujuh ayat yang sering dibaca dari al-Quranul ‘Azhim yang sudah diturunkan kepadaku.” Dalam Tafsir Pimpinan ar-Rahman menyebut tujuh dasar yang terkandung dalam surah al-Fatihah yang elok untuk kita fahami iaitu:

Pertama: Menetapkan wujudnya Allah SWT pada ayat ‘alhamdulillahi rabbil alamiin’ (segala puji bagi Allah, Tuhan yang mencipta, memiliki dan mentadbir sekalian alam).

Kedua: Menyebut kesimpulan sifat kebesaran (al-Jalaal) dan sifat kesempurnaan (al-kamal) yang terkandung dalam ayat ‘ar-Rahmanir Rahim’ (yang Maha Merahmati lagi Maha Mengasihani). 

Ketiga: Menyatakan ada Hari Kiamat yang padanya kelak akan menerima balasan amal. Justeru, manusia tidak harus menumpukan usaha mencari nikmat hidup dunia dan kelazatannya semata-mata. Kenyataan itu pada ayat ‘Maliki Yaumiddin’ (yang menguasai pemerintahan hari pembalasan). 

Keempat: Menerangkan tugas manusia yang kerananya ia diciptakan. Tugas manusia adalah ibadat seperti dalam ayat iyya kana’budu (Hanya kepada-Mu yang kami sembah). Sbb segala ibadat diperlukan manusia kerana ia menghidupkan iman, menyihatkan tubuh badan, memperbaiki akhlak dan menyucikan jiwa. Dgn iman ya hidup, tubuh sihat, akhlak baik dan jiwa bersih akan berhasil kebahagiaan manusia. 

Kelima: Memperkatakan mengenai kelemahan manusia bahawa ia tidak dapat melakukan sesuatu pun melainkan dgn pertolongan Allah dan izin-Nya. Perkara itu disebut dlm ayat ‘waiyyakanasta’iin’ (dan hanya kpdMu kami memohon pertolongan). 

Keenam: Menerangkan perkara utama yang dihajati kepada Allah ialah memperoleh hidayah dan taufik ke jalan yang membawa kebahagiaan dan cara melaluinya seperti disebutkan dalam firman-Nya: ‘Ihdinas shiratal Mustaqim ‘ (Tunjukkan kami jalan yang lurus). Ada pelbagai jalan yang akan ditempuh manusia menerusi pelbagai cara disebabkan berbeza tabiat, adat dan hawa nafsu.

Ketujuh: Mengarahkan manusia kepada memerhati dan memikirkan kisah manusia terdahulu dan hal ehwal mereka. Dengan itu, mereka memilih apa yang menyebabkan kebahagiaan, sentiasa berwaspada serta menjauhkan diri daripada perkara yang menyebabkan kecelakaan sehingga dapat hidup di dunia dengan selamat di samping mendapat nikmat kekal di akhirat iaitu syurga.

No comments:

Post a Comment