Friday, July 8, 2016

HIDUP TIDAK SELALU INDAH

Kerana di situlah keindahan hidup. Umpama sebuah lukisan yang indah justeru kerana warna2nya yg pelbagai. Bayangkan, jika hanya ada satu warna, lukisan akan kehilangan serinya. Maka begitulah “lukisan” kehidupan manusia. Dilukis oleh takdir Allah dengan pelbagai ujian. Tidak semua yang manis datang bertandang. Ada masanya kepahitan singgah tanpa diundang. 

Depani Kenyataan Hidup. Kita hanya hamba, bukan tuan apalagi tuhan dalam kehidupan ini. Selalu sahaja apa yang kita tidak minta, tidak disangka dan tidak dijangka menerjah dalam episod hidup.  Walaupun kita sering impikan yang indah-indah. Tetapi yang senang, berjaya dan gembira tidak akan menjadi milik kita sentiasa. Demikian kenyataan dan sunnah kehidupan. Yang susah, buruk, pahit dan sedih terpaksa kita hadapi. Meski kita tidak mahu, walau sekuat mana kita berusaha dan serapi mana kita merancangnya. Kita terpaksa akur. Pasrah pada satu hakikat; takdir sentiasa mengatasi tadbir.  Namun yang pahit tidak semestinya tidak baik. Bukankah ubat itu selalunya pahit? Tetapi pahit ubat itulah yang menyembuhkan.  Begitu juga baja pada tanaman. Baja itu selalunya busuk dan menjijikkan. Tetapi busuk dan jijik pada baja itulah yang menyuburkan dan akhirnya menghasilkan buah. 

Lihat yang Tersirat. Tidak semestinya apa yg kita benci membawa keburukan dan apa yg kita suka membawa kebaikan. Firman Allah: “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal perkara itu amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal perkara itu amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.”(Al-Baqarah 2: 216). Ilmu kita yang terbatas tidak akan dapat menjangkau ilmu Allah yang Maha luas. Di sebalik yang kita benci ada kalanya terselit hikmah yang sangat berharga. Misalnya, kalau tidak sakit, bagaimanakah akan kita mendapat pahala sabar? Kalau selalu cukup, bagaimanakah akan kita mendapat pahala qanaah? Kalau tidak gagal dan kecewa, mana akan dapat pahala reda? Pahala yang didapati hasil sabar, qanaah dan reda inilah yg akan meningkatkan diri seseorang kepada darjat Mukmin sejati.

Seorang sahabat bernama Abu Zar pernah ditanya apakah yang paling beliau suka dalam kehidupan di dunia ini. Tanpa ragu beliau menjawab, “aku suka lapar, sakit dan mati.” Apabila ditanya lagi mengapa beliau suka ketiga-tiga perkara itu, beliau menjawab, “aku suka lapar kerana pada waktu itu hatiku menjadi lembut. Aku suka sakit kerana ketika itu dosaku diampunkan. Dan aku suka mati kerana pada saat itulah aku bertemu dengan Allah.”Itulah sikap orang yang arif dengan Allah. Mereka sering nampak sesuatu yang lebih tersirat di sebalik yang tersurat. Mereka nampak ada mutiara di dalam tiram yang berlumpur. Mereka sentiasa percaya selepas kesukaran itu pasti ada kesenangan. 

Besarkan Iman dalam Diri. Cara mereka “mengecilkan” ujian adalah dgn membesarkan iman. Dgn iman kita percaya bahawa apa pun yg ditakdirkan Allah berlaku, pasti ada kebaikannya. Sangka baik dalam hati akan “memperbaiki” apa yg dilihat buruk oleh mata dan difikirkan negatif oleh akal. Percayalah hati kita umpama bumi. Kadang kering-kontang, panasnya membahang. Kadang sejuk dingin apabila hujan menyiram. Selang-seli ini terus dtg dan pergi, berulang2. Alangkah dungunya bagi yg mengharap hujan memanjang tanpa ada panas membahang. Juga yg mengharap hanya ada panas membahang tanpa hujan bertandang. Inilah dunia. Inilah jiwa. Selang-seli rasa umpama pergiliran cuaca. Tidak ada yg kekal, semuanya sementara. Segala yg sementara hadapilah dgn sederhana. Pada sukar ada sabar. Apabila sabar muncul syukur. Pada syukur itulah bahagia. Bahagia di hati. Kata org arif, itulah permulaan syurga!

Kuatkan Jiwa Hadapi Pancaroba. Kita mesti mempunyai jiwa yg kuat utk menghadapi pancaroba hidup. Utk itu iman perlu disuburkan selalu. Hidup mesti dipenuhi aktiviti2 membina dan memperkuatkan iman. Dosa, maksiat dan kemungkaran hendaklah dijauhkan. Jika tidak, percayalah kita akan menderita dgn pelbagai masalah jiwa. Percayalah tidak akan ada ketenangan dgn menderhakai Allah. Justeru beribadah sebanyak2nya sehingga kita letih dan tidak ada daya lagi utk melakukan maksiat. Tekanan jiwa, rasa kekosongan, kemurungan adalah akibat langsung dpd lemahnya iman. Apabila iman lemah ketahanan diri dlm menghadapi hidup turut lemah. Apabila yg didamba tidak berlaku maka jiwa akan memberontak atau tertekan. Dia seolah2nya mahu jadi “tuhan” yg menentukan hitam putih hidupnya. Padahal pada kita hanya usaha, pada Allahlah segala ketentuan. Apa yg berlaku akan tetap berlaku. Jangan mengharap air hujan naik ke langit!

Yakin Ada Sisi Indah. Jangan cuba mencapai sesuatu di luar kemampuan dan kuasa. Mana mungkin semua berlaku mengikut ketentuan kita! Sedangkan para nabi dan rasul dan para kekasih Allah pun terpaksa berdepan dengan kesusahan dan penderitaan apatah lagi kita. Nabi Zakaria dan Nabi Yahya lagikan dibunuh, apatah lagi kita, manusia yang penuh kesalahan dan kelemahan. Jadi, bangunlah, dan hadapilah tentangan. Percayalah layang2 hanya akan naik dengan menentang angin. Maka begitulah seharusnya kita. Dengan ujian, kita akan mara ke hadapan. Pahit, masam, manis dan tawar. Itulah asam garam kehidupan. Yang penting apa yg berlaku di dalam diri kita. Yakni di dalam hati kita sendiri. Pastikan di situ ada iman dan sentiasa mengingati Allah. Bukan sekali-skala tetapi dengan sebanyak2nya.Sentiasa ada sisi indah pada setiap ketentuan dan ujian Allah. Namun apabila hati jauh daripada Pencipta segala yg dilihat hanyalah keburukan. Dekatkanlah hati kpd Allah, insya-Allah segala yang dilihat, dihadapi dan dirasai akan menjadi indah. Apabila hati beriman, tidak ada yang dilihat oleh mata, melainkan keindahan!

No comments:

Post a Comment