(Murtajim Maulana Helmi)
Sebesar nikmat yang Allah swt kurniakan kepada para hambanya adalah ilmu dan harta. Pada kedua nikmat ini Allah swt meletakkan kebaikan yang besar malah kedua nikmat inilah yang menjadi asbab kemuliaan bagi para pemiliknya.
Tujuan Allah swt menganugerahkan kedua nikmat ini kepada para hambanya adalah untuk menguji dan menilai sejauh manakah kesungguhan mereka dalam menyampaikan amanah-amanah ini kepada para mustahiqin (golongan yang berhak menerima kedua pemberian yang besar ini) dan siapa pula yang berkhianat terhadap amanah ini..
Sebagaimana seorang hartawan perlu bergerak untuk sampaikan amanah harta kepada mereka yang berhak menerima hartanya maka demikianlah juga dengan para alim ulamak wajib bergerak untuk menyampaikan amanah ilmunya ke seluruh alam.
Dan disamping itu sebagaimana harta itu akan bertambah bila dibelanjakan dan akan akan berkurang bila disimpan maka begitu jugalah halnya dengan ilmu akan bertambah bila disebarkan dan akan berkurang bila tidak disebarkan. Seorang daie memerlukan dua modal untuk menjalankan dakwah, pertamanya dakwah dan keduanya ilmu.
Antara dakwah dan ilmu terdapat sebuah kesinambungan dan kelaziman yang tak boleh dipisahkan, sehingga tak dapat diterima akal bahawa seorang daie akan mampu berdakwah tanpa bimbingan ilmu dan begitu juga sebaliknya seorang berilmu yang tidak terbayangkan bahawa mereka berilmu namun tidak menjalankan dakwah.
Di medan dakwah ini Allah swt akan meletakkan halangan yang banyak dan besar dihadapan para daie untuk menguji sejauh mana keikhlasan dan istiqamahnya para daie tersebut di jalanNya. Hari nie kebanyakan orang berfikir bahawa saat menghadapi ujian kita perlu menyelesaikan masalah kita terlebih dahulu sebelum meneruskan dakwah.
Hakikatnya berdasarkan amalan dan pengalaman para anbiya alaihimussalam di saat mereka hebat di uji oleh Allah swt mereka bukan sekadar memilih untuk meneruskan dakwah bahkan mereka meyakini bahawa melalui cara beristiqamah di atas dakwahlah Allah swt akan menyelesaikan seluruh masalah yang dihadapi.
Nabi Yusuf as difitnah oleh Zulaikha hingakan baginda disumbatkan ke dalam penjara Dalam keadaan ujian yang begitu berat sekalipun baginda as tidak meninggalkan tanggungjawab dakwahnya yang di amanahkan oleh Allah swt kepadanya.
Telah menjadi sifat semulajadi para anbiya dan para sahabat bahawa dalam apa jua keadaan sekalipun, samaada senang maupun susah, mulia atau hina, mereka tidak terkesan dengan suasana bahkan mereka hanya terkesan dengan perintah Allah swt dan di dalam melaksanakan perintah Allah swt mereka tidak pernah mencari alasan dan sebab bagi hukum tersebut. Bahkan yang mereka tahu hanyalah bagaimana untuk menyempurnakan hukum tersebut.
Ujian pertama yang Allah swt turunkan ke atas para hambanya adalah ujian taat lalu di ciptakan Nabi Adam as untuk menguji ketaatan para Malaikat dan Iblis laknatullah alaih. Para malaikat sebaik saja menerima hukum tersebut langsung taat tanpa bertanya sebab dan alasan bagi hukum tersebut. Sebaliknya Iblis laknatullah sibuk bertanyakan sebab dan alasan sebelum melaksanakan hukum tersebut. Jika perintah tersebut menepati apa yg dikehendaki maka dia akan taat, namun jika sebaliknya maka dia akan ingkar.
Tatkala Iblis ditanya apakah sebabnya beliau enggan bersujud kepada Adam as maka alasan yang diberikan adalah kerana Adam lebih rendah martabatnya berbanding dirinya. Adam orang baru sementara saya orang lama, Adam dari tanah yang berada di bawah sebaliknya saya dari api yang secara adatnya berada di atas. Kerana sudah terbiasa dengan tabiat mencari alasan untuk tidak taat maka sejak di usir dari syurga lagi dia telah berazam untuk terus ingkar kepada Allah sehingga ke hari kiamat. Bahkan dia akan menggunakan cara yg sama untuk mengeluarkan Adam as dari syurga iaitu dengan cara mengajar Adam as untuk mencari sebab mengapa Allah swt melarang baginda dan pasangannya (Hawa as) dari menghampiri pohon khuldi.
Dewasa ini meskipun umat Islam sibuk dengan urusan agama (ilmu, ibadah dll) namun demikian kita melihat ada dua kekurangan yang ketara wujud dalam diri mereka iaitu pertamanya ialah hilangnya keindahan dalam amal ibadah mereka dan keduanya lenyapnya sifat istiqamah dan kemantapan pendirian mereka dalam agama. Puncanya adalah kerana umat ini secara ijtimainya sudah meninggalkan tanggungjawab dakwah diperingkat global. Kerana sesungguhnya dakwah merupakan satu-satunya amal dalam Islam yang mampu mengembalikan keindahan dalam amalan umat serta akan melenyapkan kebatilan dalam diri mereka.
Disamping itu untuk mengeluarkan umat ini dari kegelapan maka dakwah harus dijalankan dengan mengeluarkan umat ini dari kaidah penyebaran maklumat secara biasa, keluarkan mereka dari kefahaman bahawa tiada salahnya menyebarkan dakwah melalui media-media massa atau elektronik dan keluarkan mereka dari kefahaman bahawa setelah berdakwah melalui media maka dengan itu tanggungjawab dakwah saya sudah terlaksana.
Hakikat sesungguhnya, menurut Maulana Ilyas rah. alaih bahawa sesungguhnya perkara hak takkan tersebar melalui medium yang batil kerana perkara haq hanya akan tersebar melalui jalan yang haq. Jika seandainya kita menyebarkan perkara haq melalui medium batil maka natijahnya kebatilan yang akan tersebar.
Mengapa kita dilarang berdakwah lewat media? Memangnya salah? Maulana Saad mengatakan bahawa pertanyaan di atas adalah keliru. Kerana menggunakan media untuk urusan duniawi dan menyelesaikan keperluan manusia maka sudah tentu dibolehkan di sisi syarak. Namun untuk urusan agama tidak digalakkan menggunakan teknologi kerana dakwah harus dijalankan mengikut sunnah iaitu manusia berjumpa manusia (menggunakan tenaga manusia bukan mesin).
Dalilnya, azan merupakan dakwah yang sempurna. Selepas perintah solat disyariatkan Nabi saw mengumpulkan para sahabatnya untuk bermesyuarat tentang bagaimana mau menjemput umatnya menunaikan solat berjemaah dan solat ini urusan ijtimaie bukan infiradi harus menepati tuntunan syarak.
Lalu para sahabat mulai menyampaikan syor (usulan) masing-masing dan setiap usulan tersebut adalah berdasarkan amalan yang biasa dilakukan masyarakat sedunia untuk mengumpulkan manusia. Menyalakan api, memukul gendang, menggoncangkan loceng dan sebagainya. Kesemua adat kebiasaan tersebut dinafikan oleh Baginda saw kerana adat tidak terpakai untuk urusan syarak.
Akhirnya selepas menafikan kaidah tersebut maka Allah swt tunjukkan caranya bagaimana untuk menjemput umat ini ke mesjid iaitu melalui cara melaungkan azan. Hari ini ramai orang menyangka bahawa cara berdakwah itu luas, bergantung kepada cara masing-masing. Tiada salahnya berdakwah melalui media. Hakikatnya berdakwah melalui media hanya akan menyebarkan informasi agama tetapi tidak menyebarkan agama. Memajukan teknologi tetapi tidak memajukan agama. Bahkan maklumat yg tersebar melalui media tak mampu memacu ummat kepada amal kerana tiadanya mujahadah di dalamnya.
Nabi saw disamping menuliskan surat mengajak Raja Romawi dan Persia memeluk Islam, namun baginda saw tidak menganggap bahawa surat tersebut sudah memadai sebagai medium dakwah. Bahkan baginda saw tetap saja mengutuskan sahabatnya untuk membawa surat tersebut (dakwah bersama sifat mujahadah), kerana Nabi saw memahami bahawa dakwah dalam keadaan mujahadah itu akan menarik pertolongan ghaib. Justeru itu, ketikamana Raja Kisra mengoyakkan surat tersebut maka Nabi saw mendoakan bahawa semoga Allah mengoyakkan kerajaan Kisra sebagaimana dia mengoyakkan suratku.
Hasil dari dakwah Nabi saw yang menepati kehendak Allah maka pertolongan ghaib telah datang iaitu hanya dengan doanya saja boleh meruntuhkan empayar Kisra Berdakwah melalui media tidak mampu meruntuhkan kebatilan juga tidak akan berhasil untuk membuka pintu hidayah kerana syarat untuk membuka pintu hidayah adalah mujahadah dan syarat untuk meruntuhkan kebatilan adalah berdakwah mengikut sunahnya Rasulullah saw
Ada sebahagian orang yang mengkritik saya kerana melarang mereka membaca Al- Quran melalui handphone. Kalau ditanya dimanakah salahnya? Memang tak nampak salahnya. Tetapi keadaan seorang yang membaca Al Quran melalui HP itu tak ubah seperti seorang yang menghidangkan air sharbat kepada tetamunya (niatnya baik) tapi dengan menggunakan bekas (lotha) yang selalu digunakan di tandas (WC). Malah kalau bekas tersebut baru dibeli sekalipun namun begitu amatlah tidak patut menghidangkan air sherbat dengan bekas tersebut untuk tamu kita.
Apa bezanya membaca Al Quran melalui HP dengan melihat mushaf?
1). Takzim: Saidina Ikrimah r.a ketika membaca Al Quran beliau membaca sambil memegangnya seraya mengatakan: Ini merupakan kalam dari tuhanku. Sementara membaca Quran melalui HP tiada takzim didalamnya
2). Membaca Al Quran dengan mushaf wajib dalam keadaan berwudhu sementara HP tiada syarat berwudhu.
3). Al Quran tidak bercampur dengan perkara batil sedangkan HP bercampur baur dengan perkara batil.
Oleh kerana itulah saya mengatakan bahawa sangat penting dalam berdakwah untuk mengeluarkan umat ini dari keselesaan (dakwah HP) dan bawa mereka ke jalan mujahadah.
No comments:
Post a Comment