Menurut penceritaan orang tua-tua, Haji Kahar Bin Mukmin atau Dato Siamang Gagap lahir pada tahun 1817 di kampung Repah, kawasan Tampin. Sejak kecil dia seorang anak yang lincah dan cerdik cuma satu kekurangannya iaitu gagap bila bercakap. Tetapi apabila besar dia berjaya mengatasi masalah gagapnya.
Diceritakan Dato Siamang Gagap pernah berguru dengan seorang alim dalam agama diberi gelar TOK KALI SINGA. Kemudian beliau ke Patani mendalami ilmu agama dan mempelajari ilmu persilatan. Beliau juga diceritakan menjelajah tanah Minangkabau untuk mendalami ilmu persilatannya.
Apabila pulang dari perantauan, beliau mengajar ilmu agama dan persilatan kepada anak-anak muda di kampungnya. Beliau juga bercita-cita menjadi pembesar istana dan untuk mencapai cita-citanya beliau mengajak ayah dan ibunya berpindah ke Kampung Sungai Layang yang letaknya tidak jauh dari istana Yamtuan Seri Menanti. Sikap Dato Siamang yang rendah diri dan peramah membuatkan dia mudah disenangi dan diterima oleh orang-orang kampung.
Ketika Serangan dan gangguan orang-orang Rawa (Rao) yang datang dari Lenggeng telah mengganggu keamanan dan kemakmuran Luak Tanah Mengandong (Seri Menanti) Orang-orang Rawa ini terkenal dengan ganas dan tidak berhati perut. Semasa itu orang-orang Rawa amat terkenal dengan ilmu Rao Rontek (ilmu sihir yang dipakai yang membolehkan pemakai yang telah ditikam atau dibunuh, hidup semula apabila jasadnya terkena tanah.) dan Bom Katak (Katak jenis kodok yang dilumurkan dengan cili yang akan mengeluarkan gas sebagai mekanisma pertahanan. Namun sekiranya manusia terkena gas ini boleh menyebabkan halusinasi kepada manusia tersebut.)
Rakyat mengadu kepada pihak istana tetapi Yamtuan Raja Radin tidak dapat berbuat apa-apa kerana bilangan orang-orang Rawa yang ramai dan segala jenis ilmu yang mereka miliki tambahan pula baginda kuatir ramai yang akan menjadi mangsa jika berlaku peperangan dengan orang-orang Rawa.
Ketika itu Dato Siamang Gagap hadir mengadap Yamtuan menyatakan kesanggupannya menghadapi orang-orang Rawa seorang diri. Pada mulanya Yamtuan tidak yakin dengan kebolehannya tetapi bila Dato Siamang Gagap bersungguh-sungguh menyatakan kesanggupannya akhirnya baginda bersetuju dengan harapan tidak berlaku peperangan.
Dato Siamang Gagap menggunakan tipu helahnya untuk memperdayakan orang-orang Rawa. Dia mengadap ketua orang-orang Rawa bernama Temusi lalu mengaku datang dari Minangkabau bersama ramai pahlawan terbilang bertujuan membantu Yamtuan untuk memerangi orang-orang Rawa.
Dato Siamang Gagap juga mengajak untuk beradu kehebatan seorang lawan seorang untuk menguji kehebatan pahlawan Rawa. Akhirnya berlakulah pertandingan antara Dato Siamang Gagap dengan pahlawan Rawa yang terbilang dan dalam pertandingan itu Dato Siamang Gagap berjaya mengalahkan lawannya.
Kemudian Dato Siamang Gagap mengatakan dia cuma orang suruhan sahaja berbanding pahlawan Minangkabau lain yang semuanya lebih handal darinya.Akhirnya orang-orang Rawa pun merasa takut lalu meninggalkan Seri Menanti.
Sebagai menghargai jasanya berjaya menghalau orang-orang Rawa maka Yamtuan Radin menganugerahkan gelaran DATO SIAMANG GAGAP kepada beliau dan juga dilantik menjadi pembesar istana. Beliau menjadi pembesar Istana bermula dari masa pemerintahan Yam Tuan Radin, Yam Tuan Imam, Tuanku Ampuan Intan (pemangku) dan Yam Tuan Antah.
Bissirril Al-Fatihah
Tengku Daeng Mawelle
No comments:
Post a Comment