Salah satu peristiwa kebangkitan jihad Melayu-Islam yang terkenal pada penghujung abad ke18 ialah "Peristiwa Jeram Ampai" yang berlaku di Pahang pada 14 Jun 1894, Kerana ia melibatkan tiga negeri Iaitu Terengganu - Kelantan - Pahang.
Pahang mempunyai sejarah tersendiri dalam hubungannya dengan British. Sejak berlakunya pembunuhan seorang Cina rakyat British di kawasan Istana Pahang, Pembunuhan itu telah memaksa Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah menandatangani perlantikan Residen British di Pahang pada 24 Ogos 1888 bagi bertujuan kononnya untuk british beri perlindungan kepada negeri Pahang. Oleh itu John Pickersgill Rodger telah dilantik sebagai Residen British pertama di Pahang.
Perancangan lantikan residen british ini bermula akibat kegagalan British untuk menguasai kekayaan Pahang bermula dari Frank Swettenham yang dihantar pada 1885 dan Hugh Clifford yang dihantar pada 1887 untuk mengadakan perjanjian perdagangan dan pertahanan tetapi kerap ditolak oleh Sultan Haji Ahmad Shah. Kerana itulah konspirasi ini diatur dengan pembunuhan Cina tersebut untuk membolehkan British menguasai Pahang.
Setelah Pahang menerima Residen British pada 1888, Pahang diserap masuk ke dalam persekutuan Negeri-negeri Bersekutu yang ditadbir oleh British dari Kuala Lumpur pada 1895 dengan Frank Swettenham sebagai Residen Jeneral yang pertama.(Licik kan british ni) Perubahan politik ini telah memberi kesan besar kepada kemerdekaan Pahang selama ini, dan mendorong orang melayu bangkit menentang perluasan pengaruh Inggeris.
Akhirnya berlaku lah kebangkitan pertama yang dipimpin oleh Allahyarham Dato’ Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau, bermula dengan serangan di Lubuk Trua pada 21 Disember 1891, kemudian diikuti serangan pada 5 April 1892, tetapi serangan balas British selama beberapa bulan berhasil mendesak untuk menolak pejuang melayu sehingga ke sempadan Kelantan dalam pada September 1892.
Penentangan ini berlaku kerana Para pembesar-pembesar Pahang seperti Datuk Bahaman, Maharaja Perba Jelai, Datuk Kaya Chenor dan Imam Perang Indera Gajah (Tok Gajah) sebenarnya tidak mahu menerima Residen British. Mereka telah meminta agar Sultan Haji Ahmad Shah bertegas untuk menolak tawaran untuk perlantikan Residen British, Para pembesar pahang menyatakan mereka bersedia untuk berperang dengan British.
Tetapi Sultan Haji Ahmad Shah tetap menerima tawaran british itu kerana ada beberapa pihak melayu yang menasihati agar terima saja tawaran british dan jangan mengambil risiko untuk berperang. Selepas kedatangan JP Rodger ke Pahang untuk menjadi Residen British pertama maka para pembesar telah bertindak untuk menunjukkan sebagai reaksi tidak berpuas hati dengan perlantikan itu dan sikap British yang tidak adil dalam membuat perubahan pentadbiran di Pahang.
Ketika para pahlawan-pahlawan Pahang yang berundur ke Kelantan, Di sana mereka telah mendapat pertolongan dan sokongan daripada Sultan Mansor ll (Long Mansor), Ketika mereka bergerak ke Terengganu pula, Di sana mereka mendapat perlindungan daripada Tokku Paloh Iaitu seorang ulamak besar Terengganu yang sangat berpengaruh di Istana Terengganu ketika itu.
Di Paloh, Terengganu, para pahlawan ini telah menerima suntikan semangat jihad dari Tokku Paloh untuk membebaskan semula Pahang. Maka satu rancangan besar telah disusun dalam bulan Mei 1894 untuk menyerang kubu British di Jeram Ampai, Jerantut dengan bantuan orang Terengganu dan Kelantan. Mereka mula menjalankan perancangan ini dengan menyeludup senjata api dari Singapura yang diseludup oleh Awang Ngah yang berasal dari kelantan.
Kekuatan pasukan ini berpusat di Paloh Terengganu (daerah pengaruh Engku Saiyid). Sementara pihak Inggeris masih terus menjalankan usaha memujuk Dato' Bahaman dan Tok Gajah supaya menyerah diri dengan menghantar tiga orang utusan iaitu Tok Muda Akir, Wan Husin dan Awang Tanggok. Namun usaha untuk memujuk itu semua hanyalah sia-sia, Persiapan itu terus dijalankan begitu rapi hinggakan ketiga-tiga orang utusan itu yang tinggal di kubu pejuang Pahang untuk beberapa hari tidak dapat menghidu rahsia itu.
Setelah segala persiapan siap, Maka mereka semua pun bergerak ke Pahang dan melaksanakan rancangan mereka, Para pahlawan Pahang yang mengetuai serangan itu adalah Tok Gajah, Dato’ Bahaman, Mat Kilau, Awang Nong, Teh Ibrahim, Mat Kelubi dan Mat Lela bersama dengan bantuan orang besut Terengganu dan orang lebir Kelantan akhirnya telah berjaya menawan kubu Inggeris di Jeram Ampai Jerantut dengan mudah.
Walau bagaimanapun, seorang polis Sikh yang tercedera terlepas dan dapat menghubungi Panglima Garang Yusof sehingga berita penawanan ini sampai ke Pekan. Mat Kelubi dan bersama pasukannya bergerak ke kuala lipis bagi menghadapi sebarang kemungkinan Pihak british menyerang dari arah sana. Manakala Dato’ Bahaman, Imam Rasu dan Mat Kilau bergerak ke Pulau Tawar untuk mengajak Panglima Garang Yusof dan Tok Raja menyokong mereka, tetapi mereka lebih suka menjadi tali barut British.
Selepas gagal mengajak Panglima Garang Yusof dan Tok Raja, Dato Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau kembali ke Jeram Ampai Jerantut. Manakala si Tali Barut Tok Raja dan Panglima Garang Yusof bersama pasukan mereka yang dihantar british bergerak menuju ke Sungai Tembeling, Si Tali barut inilah yang kemudiannya telah menyerang pasukan Mat Kelubi pada 17 Jun 1894. Dan Mat Kelubi bersama beberapa orang pengikutnya syahid di bunuh oleh si tali barut berwajah melayu berhati Inggeris itu. (Geram aku)
Pada 18 Jun 1894, Pemangku Residen British, Walter Egerton telah membawa polis dan askar Sikh dari Selangor dan Perak untuk bergabung dengan pasukan Panglima Garang Yusof di Kuala Tembeling. Mereka bergerak untuk menawan semula Jeram Ampai yang dikuasai oleh Dato’ Bahaman dan Tok Gajah Imam Rasu. Pada 29 Jun 1894, British dapat menguasai semula Jeram Ampai, tetapi mereka tidak dapat menangkap semua ketua pejuang Melayu Iaitu Dato Bahaman, Mat Kilau, Tok gajah, Mat Lela, Awang Nong dan Teh Ibrahim.
Setelah itu, British meminta bantuan Siam untuk menahan mereka, Dan british buat pencarian besar-besaran yang menyebabkan mereka semua bersembunyi dan membuat helah bahawa mereka telah terbunuh. Dan pada November 1895 british menamatkan semuanya. Secara hakikatnya tiada satu pun Ketua pejuang Melayu yang dapat british tangkap dan bunuh. British semua diperdayakan dan para pejuang ini muncul seorang demi seorang selepas kemerdekaan.
Peristiwa Jeram Ampai ini walaupun tidak berhasil memerdekakan Pahang, tetapi ianya adalah salah satu semangat kebangkitan jihad fisabilillah orang Melayu ke atas bangsa kafir yang menjajah mereka. Faktor agama sangat memainkan peranan besar dalam kebangkitan ini terutama peranan Tokku Paloh selaku Sheikhul Islam Terengganu. Mereka kalah bukanlah kerana tak cukup kuat ataupun lemah dari strategi perang tetapi kekalahan ini adalah berpunca dari pengkhianatan bangsa kita sendiri yang tamak harta kuasa dan pangkat. Cuba korang Bayangkan betapa sedihnya para pejuang Melayu kita yang cuba untuk membebaskan tanah melayu dari jajahan british tetapi telah dikhianati oleh bangsa sendiri.
Mereka semua Dato Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau dan Mat Lela mengundurkan diri bukanlah kerana takut, Tetapi mereka tidak mahu membunuh bangsa mereka sendiri. Perjuangan mereka tidak akan pernah saya lupakan, Dan saya tidak pernah menganggap mereka tewas melainkan mereka lah pejuang sejati sebenar.
Al-Fatihah untuk mereka semua dan yang terkorban dalam perjuangan membebaskan tanah melayu dari penjajah.
Tengku Daeng Mawelle
No comments:
Post a Comment