Dalam gerakan menentang Inggeris, Allahyarham Mat Kelubi atau Mamat Kelubi ialah seorang pengikut setia Allahyarham Dato Bahaman, Tok Gajah serta anaknya Mat Kilau. Mat Kelubi juga adalah anak saudara kepada Tok Gajah.
Kesetiaan Mat Kelubi bermula semasa Dato Bahaman, Orang Kaya Semantan, dilantik oleh Sultan Ahmad Shah sebagai Orang Besar Daerah dengan kuasa pentadbiran di Sungai Semantan, Temerloh hingga ke Jeram, Bentong. Dato Bahaman telah melantik Mat Kelubi sebagai panglimanya sendiri. Dengan pelantikan itu, Mat Kelubi bertanggungjawab sebagai ‘Kapit’ (pengawal peribadi) kepada Dato Bahaman.
Pada awal pergolakan di Pahang setelah kedatangan Inggeris, Mat Kelubi hampir membunuh seorang pegawai Inggeris yang terlibat dalam satu pergaduhan dengan Dato Bahaman pada Oktober 1891 ekoran keengganan Dato Bahaman membenarkan Inggeris membuka lombong bijih di Semantan. Bagaimanapun, tindakan Mat Kelubi itu dilarang oleh Dato Bahaman yang tidak mahu persengketaan berlarutan.
Pada tahap kedua perjuangan pahlawan Pahang menentang campur tangan Inggeris, para pahlawan yang digelar pemberontak Pahang telah berpindah ke Terengganu dan Kelantan. Di Terengganu, Mat Kelubi dan pejuang Pahang bertemu dengan seorang ulama bernama Ungku Saiyid Paloh.
Bantuan Saiyid Paloh seramai 200 orang dari Besut, Terengganu serta Ulu Lebir, Kelantan telah bergabung tenaga dengan angkatan Pahang bersama Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau, Awang Nong dan Teh Ibrahim. Mat Kelubi sebagai pengikut yang setia turut balik berjuang di Pahang.
Setelah melalui sempadan Terengganu-Pahang, pada 12 Jun 1894 mereka menghilir perahu di Sungai Tembeling hingga ke Pasir Tambang, Jerantut. Di Pasir Tambang, mereka menyerang balai Polis Kuala Tembeling, membunuh lima orang polis Sikh yang ditempatkan oleh Inggeris untuk berkawal di situ.
Bagaimanapun, salah seorang daripada anggota polis Sikh yang dikenali sebagai Ram Singh dapat melarikan diri menaiki perahu hanyut menghilir Sungai Pahang sampai ke Pulau Tawar. Ram Singh menceritakan penyerangan balai polis Kuala Tembeling kepada Orang Besar Pulau Tawar yang menyebelahi Inggeris.
Berikutan kejadian itu, satu pertemuan antara Dato Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau dan Mat Lela dengan Tok Raja serta Panglima Garang Yusof yang memihak pada Inggeris diadakan di Kampung Kedondong, Pulau Tawar untuk mencari jalan penyelesaian kepada persengketaan ekoran campur tangan Inggeris.
Mat Kelubi tidak menyertai pertemuan tersebut. Dia sebaliknya tinggal berkawal di Kuala Tembeling bersama lebih 50 orang pengikutnya. Setelah gagal dalam perundingan dengan Tok Raja dan Panglima Garang Yusof. Maka Dato Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau serta Mat Lela mudik balik ke Kuala Tembeling. Dalam perjalanan mereka bertempur di kubu Inggeris di Jeram Ampai, dan dapat membunuh 11 orang polis Sikh.
Mat Kelubi pula dengan enam orang pengikutnya mudik Sungai Jelai untuk menyekat tersebarnya berita kejatuhan balai polis Kuala Tembeling kepada pegawai Inggeris di Lipis yang ketika itu merupakan ibu negeri Pahang. Ketika itu Mat Kelubi tidak mengetahui kumpulan Dato Bahaman telah pulang dari Pulau Tawar dan berperang di Jeram Ampai.
Empat hari kemudian, semasa menaiki perahu di Sungai Tembeling bersama tiga orang pengikutnya pada 16 Jun 1894, Mat Kelubi pula telah diserang hendap oleh kumpulan Panglima Garang Yusof yang diupah oleh Inggeris.
Ketika Mat Kelubi terkena tembakan senapang. Dia terjun ke dalam sungai. Lantas Panglima Garang Yusof turut terjun ke dalam sungai dan menikam Mat Kelubi bertubi-tubi sehingga mati.
Mat Kelubi ni berasal dari Kampung Pedah, Jerantut. Sebelum berlakunya perang Mat Kelubi pernah berkahwin dengan seorang wanita yang bernama Hawa dan dikurniakan seorang anak yang dinamakan Awang.
Awang pula telah berkahwin dengan Lehah. Dan Mereka memperoleh lima orang anak bernama Hindun, Rashid, Habsah, Ropiah dan Jalaluddin.
Allahyarham Jalaluddin Bin Awang pernah bercerita dahulu ibunya selalu bercerita mengenai atok mereka "Mat Kelubi" datuknya Mat Kelubi telah mati ditembak oleh orang Melayu yang menjadi musuhnya ketika berperahu di sungai.
“Mat Kelubi terjatuh ke dalam sungai, kepalanya dikerat, manakala badannya tanpa kepala telah hanyut di Sungai Pahang lalu terdampar pada pasir di Pulau Dedari, Kampung Pedah, Jerantut,”
Orang kampung yang menjumpai dan mengenali tubuh badan dan pakaian Mat Kelubi membawa mayatnya untuk dikebumikan di perkuburan Kampung Lama Pedah.
Menurut Allahyarham Jalaluddin, sehingga kini kubur datuknya (Mat Kelubi) itu terletak berhampiran tiang masjid kampung tersebut dengan ditandakan menggunakan nisan batu sungai.
Selepas pertempuran pada 16 Jun 1894, Panglima Garang Yusof dan pengikutnya membawa kepala Mat Kelubi ke Lipis untuk ditunjukkan kepada Inggeris sebagai bukti telah dibunuh.
Begitulah betapa sedihnya pengakhiran hidup Pejuang Pahang Mat Kelubi yang dibunuh oleh orang Melayu sendiri dan kepalanya dikerat, Hanya badan tanpa kepala yang ditanam di Masjid Kampung Pedah iaitu kuburnya sekarang.
Bissirril Al-Fatihah
Tengku Daeng Mawelle
No comments:
Post a Comment