Wednesday, August 31, 2016

DIRI YANG TERTIPU

Ramai yang tertipu dengan amal, lalu mereka menghitung amal bagaikan kanak-kanak yang menghitung nilai wang dinilai dengan bilangan sedangkan ia hanya timbunan duit satu sen sahaja.

Ramai yang tertipu kerana mereka beramal dengan apa yang mereka suka bukannya dengan apa yang Allah suka. Setiap tahun dia mengerjakan umrah kerana dia menyukainya sedangkan Allah menyukai dia membantu golongan yang memerlukan sumbangan kewangan mereka begitulah kias bagi mereka yang mahu mengerti.

Ramai yang tertipu dengan amal yang mereka lakukan. Mereka menyangka apa yang mereka lakukan tinggi nilainya. Sedangkan disisi Allah adalah amat rendah nilainya. Mereka bermuzakarah ilmu sehingga timbul kehebatan diri sedangkan bersama ahli maksiat yang merendah diri adalah lebih mulia dari majlis mereka begitulah kias bagi mereka yang mahu memahami.

Ramai yang tertipu sehingga mereka merungut dengan musibah lantaran tiada mereka dapat beribadah lalu mereka mahu keluar dari musibah itu sedangkan Allah mahu mereka beribadah dalam musibah itu dengan redha, sabar dan bersangka baik tetapi mereka tiada mengerti, lantaran jiwa yang gelap untuk mengerti.

Ramai yang tertipu dengan amal mereka lantaran tiada makrifat pada TuhanNya. Jahil memahami apa kecintaan Allah. Mereka beramal dengan kecintaan mereka sehingga mereka menjadi sesat, lantaran hati yang semakin tebal dengan hijab.

Demi sebuah cinta tinggalkan dirimu bangunkan dalam jiwamu cinta,

cinta hanya pada Allah
cinta hanya pada kehendakNya
cinta hanya pada pandanganNya
cinta hanya pada matlamat padaNya
cinta hanya pada mentauhidkannya
cinta kepada sekelian kekasihNya

Agar kamu selamat daripada kebodohanmu lantaran kamu menyintai nafsumu dalam ibadah padanya.

Tengku Daeng Mawelle

No comments:

Post a Comment