Tuesday, January 19, 2010

HARIMAU JADIAN LEMBAH TEMBELING

Kisah Benar: "Harimau Jadian Bunuh 8 Mangsa Dalam Satu Malam Ngeri Di Kg Ranggul Tembeling"

Ini cerita bukan mitos dan benar berlaku pada tahun 1862 di Lembah Tembeling. Ramai orang tua-tua bercerita kisah seekor harimau jadian (weretiger) yang besar telah membunuh 31 mangsa dan pernah dalam satu malam yang ngeri membunuh 8 sekeluarga dalam sebuah rumah di Kg Ranggul, Tembeling.

Hugh Clifford Residen Inggeris di Pahang pernah menulis mengenai kisah harimau jadian ini di Tembeling dan satu lagi di Slim River Perak yang ditulis oleh Sir Frank Swettenham Residen Perak. Masa itu orang MELAYU percaya orang Kerinci dari Sumatera boleh menjadi harimau jadian.

Masa itu juga orang Tembeling tidak berani menyebut nama harimau bukan sahaja dalam hutan tapi di rumah juga bimbang angin akan membawa ke telinga harimau dan akan datang membaham mereka. Orang Tembeling menyebut harimau itu dengan nama Si Pudong atau "dia yang muka berbulu".

Mengikut ceritanya harimau jadian itu adalah seorang orang asli Semang atau Negrito di hutan Tembeling. Tinggal dikalangan orang Semang pada siang hari bila malam menjelma sebagai harimau jadian atau weretiger membunuh mangsa untuk menghisap darah, lebih banyak dari makan daging. Harimau jadian ini ketika itu telah membunuh seorang budak perempuan dari keluarga Wan di Kg Labu. Itu menjadikan mangsa yang ke 23 dan berita cepat tersebar ke seluruh kampung-kampung.
Semua orang bila malam menjelma berasa takut dan duduk di rumah.  Cerita harimau jadian bunuh 8 mangsa dalam satu malam sungguh ngeri di Kg Ranggul Tembeling. Diberitakan pada petang hari keluarga 8 orang ini telah mengetahui kisah harimau jadian membunuh seorang budak perempuan bernama Wan Esah di Kg Labu.

Masing-masing merasa takut. Malam itu sebenarnya ada 9 orang berlindung ketakutan dalam sebuah rumah di Kg Ranggul sambil memegang lembing dan parang. Mereka ialah: Che Seman, 2 anak lelaki Che Seman iaitu Awang dan Ngah, Lang isteri Che Seman, Minah anak perempuan kecil Che Seman, Kassim, Potek, Abdollah dan Mat.

Harimau itu datang pada malam hari mengaum dengan kuat dan menerkam ke tingkap rumah tapi gagal masuk terjatuh. Kali ke dua berjaya menghembur hingga ke bumbung dan berjaya menyelinap memasuki rumah lalu membunuh 8 orang kecuali Mat selamat kerana menyorok di satu bahagian rumah.

Mengikut Mat, harimau itu menghisap darah setiap mangsa yang dibunuh dan bermain dengan mangsa yang sudah mati seperti kucing bermain dengan tikus sambil mencakar dan menggigit tubuh mangsa.

Sungguh ngeri semua tubuh mangsa bagai dikerat-kerat tidak berupa orang dan yang paling sedih harimau itu sebelum membunuh sikecil Minah budak perempuan, harimau itu seolah-olah macam bermain-main dengan Minah seperti tikus. Minah beberapa kali merangkak hingga sangat keletihan akhirnya dengan ganas harimau itu mencakar dan mengigit tengkuk Minah hingga mati.

Menjelang subuh harimau itu terus terjun ke tanah berlari ke arah hutan menghilangkan diri dan paginya orang Kg Ranggol melihat 8 tubuh manusia yang hancur bergelimpangan sukar untuk dikenali.

Apa yang berlaku kesudahannya kepada harimau jadian itu tidak diketahui. Hugh Clifford tidak memberitahu apa jadi adakah harimau jadian itu berjaya dibunuh. Hugh Clifford cuma mengutuk harimau jadian yang asal dari manusia sanggup membunuh 31 orang kampung demi menghisap darah dengan kejam kerana ilmu hitam.

Jadi adakah harimau jadian itu berjaya ditangkap? Atau dibunuh? Kalau berjaya siapa yang membunuhnya? 

Harimau jadian itu sebenarnya dapat di bunuh di Kampung Bantal. Wan Ismail telah merancang menangkap harimau tersebut bersama orang kampung. Orang kampung duduk tidak tenteram sebab menjelang malam mereka terpaksa menutup setiap lubang lantai dengan perca kain untuk mengelakkan harimau jadian mengintai dari bawah rumah.

Pada suatu malam Wan Ismail menambat kambing pada tiang sangkar perangkap harimau. Kepala kambing tersebut dihembus Wan Ismail dengan jampi serapahnya. Keesokkan harinya orang kampung berduyun-duyun mahu melihat perangkap sangkar tersebut. Mereka mendapati seorang lelaki keturunan Sakai duduk bertinggung. Matanya liar melihat sekeliling! Orang kampung hendak merejam Sakai tersebut dengan lembing tetapi di halang Wan Ismail.

"Dia tak kan mati dengan rejaman lembing!" Wan Ismail mengarahkan orang kampung mengusung perangkap sangkar tersebut ke tebing sungai.

Sesampainya ke tebing sungai Wan Ismail memberikan paruh burung kelengkeng kepada Sakai tersebut. "Gunalah paruh burung ini untuk melepaskan diri kamu, kalau bernasib baik lepas lah kamu. kalau gagal matilah kamu". Serentak dengan itu perangkap sangkar itu dihumbanlah orang kampung ke sungai Tembeling!!!

Gelembung udara membuak-buak timbul di permukaan air sebegitu lama. Lama sungguh Sakai tersebut bernafas dalam air sampailah senyap dan sepi. Akhrnya matilah harimau jadian Sakai tersebut!

Tengku Daeng Mawelle

No comments:

Post a Comment