Batu Bersurat Ibn Sirdhan ini merupakan satu daripada inskripsi yang menjadi bukti kewujudan Islam di Kedah telah bertapak sekitar abad ke 9 lagi. Batu bersurat Ibn Sirdhan, mencatatkan nama Ibn Sirdhan dan tarikh 214 H atau 829 Masehi, yang ditulis dalam tulisan jawi. Batu ini yang telah dijumpai di Kampung Tupah Merbok Kedah.
Batu Ibn Sirdhan ni sezaman dengan zaman para sahabat dan tabiin. Tulisan jawi Ibn Sirdhan ini adalah dengan gaya khat farisi iaitu khat orang Islam Parsi yang merupakan dikenali sebagai Islam Timur dalam kebudayaan Islam. Islam timur menghasilkan ribuan ulama besar seperti imam Al-Ghazali, Imam Abu Hanifah, Imam Bukhary, Imam Muslim dan banyak lagi.
Semenjak Abad ke 9 lagi, dicatatkan telah terdapat banyak rombongan perdagangan singgah di pelabuhan kedah,iaitu di sungai Merbok. Kebanyakannya datang dari negara Timur Tengah seperti negara Parsi dan Arab. Selain itu juga terdapat juga pedagang dari negara China dan India singgah di Kedah.
Ibn Sirdhan ini mungkin seorang pendakwah dari Timur Tengah yang telah mula memperkenalkan dan memperkembangkan Islam di Kedah. Bukti lain yang ditemui adalah sebatang nisan di sebuah perkuburan lama di Kampung Tanjung Inggeris berhampiran Pekan Langgar yang bertarikh 3 Rabiulawal 291 Hijrah atau904 Masehi yang tersembunyi dalam sebuah busut besar dan nama yang terukir di batu nisan itu adalah Syeikh Abdul Kadir.
Menurut kaji selidik yang dilakukan oleh beberapa orang profesor juga menunjukkan bahawa Syeikh Abdul Kadir merupakan seorang pendakwah Islam dari Timur Tengah yang mengembangkan Islam di daerah itu.
Pada waktu yang sama iaitu pada abad ke-9 dan 10, dari catatan para pedagang dan pendakwah atau ahli pelayaran dari Timur Tengah menunjukkan bahawa mereka sudah ramai datang berniaga di Kedah. Di samping berniaga, mereka turut menggunakan kesempatan untuk memperkenalkan Islam.
Perhatikan; ini bertepatan dengan catatan Abu Dulaf pada tahun 940 Masehi:
“Apabila saya sampai di Kalah, saya dapati tempatnya amat indah dengan tembok-tembok kota, taman-taman bunga dan aliran mata-mata air dari bumi. Saya lihat lombong bijih timah yang tidak ada tolok bandingnya dalam dunia ini. Di dalam kota ada tukang-tukang membuat pedang “qala’I” iaitu pedang Hindi yang tulen…seperti di Negara China, terdapat orang-orang yang tidak menyembelih ternakan yang mereka makan. Penduduknya mempunyai sistem keadilan dan mempunyai penjara serta hukuman denda”.
“Mereka makan gandum, buah kurma, sayur-sayuran yang ditimbang bila dijual dan roti yang dilonggok-longgok sahaja bila dijual. Mereka tidak mempuyai hamam tetapi mandi di sungai-sungai yang mengalir deras. Wang mereka ialah dirham perak…yang dipanggil ‘fahri’. Mereka memakai kain ‘al firand’ (sutera) yang sangat mahal seperti orang-orang China dan menyebut Maharaja China di dalam Khutbah Jumaat dan qiblat Raja Kalah pun mengadap ke arah Maharaja itu…”
“Raja China” di dalam teks ini merujuk kepada Maharaja Srivijaya yang umum menganut fahaman Buddha Mahayana, sama seperti fahaman dinasti-dinasti China. Maharaja Srivijaya juga memakai gelaran-gelaran dalam bahasa Sanskrit seperti Indravarman, Trailokyaraja dan sebagainya dan ini mempengaruhi kefahaman Abu Dulaf ketika itu.
Ini kerana Raja Kalah (Kedah) masih di bawah pengaruh Srivijaya atau Sribuza. ‘Qiblat’ di sini bukannya kiblat orang bersolat tetapi kemungkinan besar adat istiadat mengadap raja-raja MELAYU yang memerlukan adat tunduk dan mengangkat sembah di hadapan raja.
Walaupun umumnya pengaruh Hindu-Buddha masih kuat ketika itu, namun di sini kita tahu bahawa komuniti Islam telah ada di dalam ibukota Kedah Tua, malah amat meluas dan menjadi trend di sana. Justeru, memang Abu Dulaf telah menggambarkan bahawa memang ada suasana Islamik di kawasan bandar (urban) di dalam kerajaan Kedah Tua.
Tengku Daeng Mawelle
No comments:
Post a Comment