Tuesday, January 19, 2010

LAGENDA BUAYA BUJANG SENANG

SEGELINTIR penduduk Iban di Sarawak percaya bahawa lagenda buaya raksasa 'Bujang Senang' yang mengganas di Sungai Batang Lupar, Sarawak sekitar 1980-an berasal daripada seorang manusia yang disumpah menjadi buaya. 

Mengikut mitos lama masyarakat iban, asal buaya jelmaan itu ialah pahlawan Iban bernama Simalungun. Kehebatan Simalungun terserlah pada zaman mengayau (memotong kepala) dan ramai musuh menjadi korban di tangannya. Kehebatan Simalungun dikaitkan dengan ilmu kebal yang dimilikinya. 

Berikutan kehebatannya, musuh pahlawan terbabit mencari jalan untuk menumpaskan “Simalungun" dan akhirnya mereka berpakat menculik isteri Simalungun dan memaksa isterinya beritahu rahsia kekebalan suaminya. Isterinya terpaksa memberitahu bahwa kelemahan suaminya adalah air sungai. 

Lantas Simalungun pun diumpan sungai untuk menyelamatkan isterinya, Musuhnya berpura-pura melepaskan isterinya dan dengan pantas musuh Simalungun menombak si isterj sebaik saja dibebaskan. Lantas Simalungun mengamuk tanpa memikirkan pantang larang ilmu kekebalannya dan terus turun ke sungai. 

Walaupun bertarung di sungai, Simalungun bermati-matian berlawan dengan musuhnya, Dan akhirnya pahlawan Iban itu maut dibunuh dan mayat beliau bersama isterinya dibiarkan tenggelam dalam air Sungai Batang Lupar. Mayat Simalungun dan isterinya kemudian bertukar menjadi buaya yang besar dan haiwan jelmaan itu mula mengganas menghantui keturunan pembunuhnya sekitar Batang Lupar.

Buaya jelmaan berkenaan dikenali sebagai `Bujang Senang' dan menjadi igauan ngeri penduduk sekitar Sungai Batang Lupar apabila dipercayai membaham lebih 14 penduduk Iban sejak 1940-an. Masyarakat Iban menganggap Bujang Senang bukanlah buaya biasa tetapi `Maharaja Buaya' iaitu raja segala buaya yang hidup sepanjang Sungai Batang Lupar sehingga seluruh Sungai Rejang.

Bujang Senang digeruni kerana saiznya amat besar, Lebih aneh ialah Bujang Senang memiliki tanda garus putih di atas badannya yang tidak terdapat pada buaya lain. Walaupun buaya raksasa itu didakwa sudah mengganas sejak 1940-an, kisah legenda Bujang Senang mula mendapat perhatian apabila ia membaham Penghulu Bangan dari Rumah Panjang Pali di Sri Aman pada 1982. 

Mengikut cerita, Penghulu Bangan bersama abangnya Kebir menangguk udang dan ketika itulah Bujang Senang menyerang dan membaham penghulu itu sebelum mengheretnya jauh ke dalam sungai. Kebir cuba menyelamatkan adiknya tetapi gagal dan ketika itu beliau ternampak garisan putih di belakang buaya besar yang menyerang mereka, Maka tahulah dia buaya itu tidak lain tidak bukan adalah "Bujang Senang"

Serangan itu menggemparkan penduduk dan operasi mencari mayat Penghulu Bangan dilakukan selama lima hari tetapi hanya badan mayat lelaki itu ditemui. Polis Sarawak melancarkan `Operasi Buaya Ganas' di sungai besar di negeri itu seperti Batang Sadong, Samarahan, Lupar, Layar dan Saribas tetapi Bujang Senang gagal ditemui.

Bujang Senang terus mengganas dan antara 1982 hingga 1991, dipercayai 13 orang menjadi mangsa buaya raksasa itu. Kemuncak keganasan Bujang Senang berlaku pada Mei 1992 apabila haiwan itu menyambar mangsa ke-14 iaitu wanita yang bernama Dayang anak Bayang, ketika wanita Iban itu menyeberangi Sungai Pelaban bersama ibunya.

Berang dengan kejadian berkenaan menyebabkan puluhan penduduk Iban dan polis memburu buaya itu. Selepas kira-kira empat jam menjejaki Bujang Senang, buaya ganas itu berjaya dikepung di suatu kawasan sungai tetapi cubaan membunuhnya menggunakan lembing dan peluru biasa gagal. Seorang pawang Iban kemudian mencadangkan paku digunakan sebagai peluru dan atas nasihat itu, maka kira-kira 40 das tembakan menggunakan paku sepanjang 10 sentimeter dilepaskan ke arah Bujang Senang dan Akhirnya tamatlah riwayat "Bujang Senang"itu 

Tapi sesetengah masyarakat iban percaya bahwa Bujang Senang masih hidup,Kerana Mereka percaya Yang ditembak itu bukan Bujang Senang tetapi isterinya yang bertukar menjadi buaya bersamanya ketika merekah dibunuh. Mereka berkata size Bujang Senang sebenar lebih besar dari yang dibunuh itu. 

Tidak pasti sejauh mana kebenaran perihal si Bujang Senang, Apapun Bujang Senang itu memang ada cuma yang diragui adalah mitos yang mengatakan ianya adalah buaya sumpahan dan adakah benar Bujang Senang masih hidup. Kat bawah tu gambar tengkorak buaya Bujang Senang yang mati dibunuh.

Tengku Daeng Mawelle

No comments:

Post a Comment