Maka Raja Suran fikir dalam hatinya, "Bahawa isi darat telah aku ketahuilah, Dan segala isi laut bagaimana gerangan rupanya? Jika demikian, baik aku masuk ke dalam laut, supaya aku ketahui betapa halnya."
Setelah baginda berfikir demikian, Maka baginda pun menyuruh menghimpunkan segala pandai dan utus. Maka dititahkan baginda berbuat sebuah peti kaca berkunci dan berpesawat dari dalam. Maka diperbuatlah oleh segala utus itu sebuah peti kaca seperti kehendak Raja Suran itu, Dan diberinya berantai emas.
Setelah sudah maka dibawanyalah ke hadapan Raja Suran, Maka baginda pun terlalulah sukacita melihat perbuatan peti itu, Maka baginda memberi anugerah akan segala hakim dan utus itu, tiada terkira-kira banyaknya. Maka Raja Suran pun masuklah ke dalam peti itu, Maka segala yang di luar semuanya habis kelihatan.
Maka dikuncikan baginda pintu peti itu dari dalam. Maka dihulurkan oranglah ke dalam laut, maka peti itu pun tenggelamlah. Maka Raja Suran pun terus melihat dari dalam peti itu, pelbagai kekayaan Allah subhanahu wa taala dipandang baginda. Moga moga dengan takdir Yang Amat Kuasa, maka peti Raja Suran itu jatuh ke dalam bumi yang bernama "Dika".
Maka Raja Suran pun keluarlah dari dalam peti itu, lalu berjalan melihat segala yang indah-indah. Maka baginda bertemu dengan sebuah negeri terlalu besar lagi dengan teguhnya. Maka Raja Suran pun masuklah ke dalam negeri itu, Maka dilihat baginda dalam negeri itu suatu kaum Bu Sum namanya, terlalu amat banyak, tiada siapa mengetahui bilangannya, tetapi mereka itu separuh Islam dan separuh kafir.
Setelah mereka itu memandang rupa Raja Suran itu, maka sekalian orang itu hairan tercengang dan takjub memandang pakaian baginda itu. Maka oleh segala mereka itu akan Raja Suran dibawanya kepada rajanya. Adapun nama raja mereka itu Raja Aktabu'l-Ard.
Setelah raja itu melihat rupa Raja Suran itu, Maka ia bertanya pada orang yang membawa baginda itu, "Orang mana ini?" Maka sembah orang itu, "Baharu datang tuanku orang ini, Dari mana-mana datangnya, kami sekalian tiada tahu”. Maka Raja Aktabu'l-Ard bertanya kepada Raja Suran, "Orang mana kamu ini? Dan dari mana kamu datang ke mari ini?"
Maka sahut Raja Suran, "Adalah Hamba ini datang dari dalam dunia. Hambalah raja segala manusia, Nama Hamba Raja Suran”. Maka Raja Aktabu'l-Ard pun terlalu hairan mendengar kata Raja Suran itu; maka katanya, "Adakah dunia lain daripada dunia kami itu?" Maka sahut Raja Suran, "Bahawa alam itu terlalulah sekali banyak, pelbagai jenis di dalamnya."
Setelah Raja Aktabu'l-Ard mendengar kata Raja Suran itu, Terlalu amat takjub ia, Seraya mengucap subhana 'llahu'l malikul'l jabbar. Maka oleh Raja Aktabu'l-Ard akan Raja Suran dibawanya naik duduk di atas takhta kerajaannya.
Tengku Daeng Mawelle
No comments:
Post a Comment