Tuesday, January 19, 2010

IMAM PERANG

Imam Perang Indera Mahkota Che Endut Jeneral perang Pahang yang terbilang. "Encik Endut Panglima Raja orangnya sangat berani, halus bahasa, lemah lembut lakunya, raja sangat kasih kepadanya malah digelar Imam Perang Encik Endut, ganti imam perang yang meninggal” - Hikayat Pahang.

Imam Perang Indera Mahkota Che Endut atau nama sebenarnya Haji Halim bin Jaafar ialah seorang keturunan peranakan Arab Jambi yang terlibat dalam banyak konflik politik dan bersenjata di selatan Tanah MELAYU sekitar separuh kedua abad ke-19 masihi. Beliau menaiki tangga perkhidmatan dengan pemerintah Pahang hasil keberanian dan jasa baktinya kepada Bendahara Wan Ahmad(kemudian Sultan Ahmad I, 1836-1914). 

Nama penuh beliau ialah Haji Halim bin Ja'afar bin Ishak bin Mohamad Nor bin Ishak bin Ali al-Maghribi berkemungkinan masuk ke Pahang melalui Daik Lingga dan Pulau Penyengat dalam zaman Bendahara Ali berkunjung ke sana menziarahi Sultan Mahmud Lingga Marhum Keraton.

Beliau terlibat dalam pelbagai siri konflik iaitu:

i) Perang Saudara Pahang (1857-1863)

- Perang Orang Kemaman 
- Perang Endau
- Perang Temai

ii) Perang Saudara Selangor (1866-1874)

- Perang Pemberontakan Hulu Pahang 
- Perang Kelang

iii) Perang Pemberontakan Pahang (1890-1895)

Khidmat beliau bermula apabila ditugaskan sebagai Panglima Kakap kemudian Panglima Raja kemudian Imam Perang Raja sebelum dianugerahkan pangkat tertinggi Imam Perang Indera Mahkota iaitu salah seorang daripada Orang Besar Raja yang karib dalam sistem Pembesar Empat Lipatan Pahang.

1) Perang Orang-orang Kemaman

Nama beliau mula muncul dalam kempen Bendahara Siwa Raja Wan Ahmad pada masa para hulubalang Pahang yang setia mengikut baginda keluar dari Pahang setelah diusir kakanda baginda iaitu Bendahara Seri Maharaja Wan Mutahir. Pertama kalinya mereka cuba menetap di Singapura namun akibat halangan Temenggong Encik Wan Abu Bakar mereka berpatah balik lalu menetap di Kemaman menerima kurnia suaka politik daripada Sultan Baginda Omar.

Dari Kemaman usaha menakluk pertama bermula dengan kempen yang dikenali sebagai Perang Orang Kemaman

Ketika ini, angkatan orang-orang Pahang diketuai oleh orang-orang raja iaitu Panglima Encik Komeng, Panglima Kakap Encik Endut sendiri, Panglima Laut Encik Talib, Panglima Dalam Encik Hitam Abdullah Pengasuh(keturunan Pengiran Suranegara Pengiran Anak Badaruddin ibni Sultan Kanzul Alam yang lari ke Pahang), Panglima Kakap Encik Bahaman, Panglima Tunggal, Panglima Hitam dan Panglima Muda. Mereka diapiti oleh angkatan orang-orang Kemaman yang diketuai Sayyid Idrus, Raja Muda dan Wan Dagang.

Ketumbukan armada yang besar ini berlayar hingga ke Kuala Pahang, mudik mendarat hingga Kampung Marhum lalu berbuat kubu di Pulau jawa. Serangan secara tiba-tiba mengejutkan pihak Bendahara Seri Maharaja Wan Mutahir yang bersemayam di Ganchong beberapa batu ke hulu kerana pihaknya masih dalam suasana meraikan perkahwinan anaknya di Johor dan ramai kaum kerabat dan pegawai baginda masih berada di Singapura. 

Baginda berundur sehingga ke Chenor mengumpulkan bantuan dari pihak Jelai dan Johor yang tiba melalui penarikan Serting-Bera dan kedua-dua pihak bertembung di sekitar kawasan pertahanan Tanjung Rengas, Tanjung Medang dan Kampung Langgar selama empat bulan dalam perang meriam dan istinggar tembak menembak dari dalam kubu-kubu pertahanan di kedua dua tebing sungai Pahang dan dari atas pulau-pulau di tengah-tengah Sungai Pahang.

Pertempuran berlaku selama empat bulan dengan kekalahan pihak Bendahara Siwa Raja Wan Ahmad di kubu Tanjung Medang menyebabkan 40 orang Kemaman terbunuh. Ini disusuli dengan kegagalan pasukan angkatan laut Panglima Kakap Che Endut dan Panglima Dalam Encik Hitam Abdullah mempertahankan Pekan di sebelah hilir. Perang Orang Kemaman tamat dengan kekalahan Bendahara Siwa Raja Wan Ahmad dan baginda berundur ke Kemaman.

2) Perang Endau

Beberapa lama di Terengganu baginda mengambil keputusan untuk cuba menakluk Pahang sekali lagi dalam kempen yang dikenali sebagai Perang Endau. Kegagalan dalam menawan bandar istana Pahang di Parit Pekan dengan lancar memaksa mereka masuk bertempur pula di Endau selama sebulan. Pertempuran ini semuanya disertai Che Endut terutamanya pertempuran menawan Hujung Gesung.

Pertempuran di pesisir Endau ini disertai oleh para panglima raja dan diketuai oleh Che Endut yang kini diberi gelaran Panglima Raja. Menurut hikayat beliau berusaha dengan gigih untuk menawan sebuah kubu musuh: "Satu kubu yang diamuk Panglima Raja, yang bertikam orang didalamnya sangatlah melawannya. Tersalah langkah Panglima Raja tumbang dengan pantasnya lalu bangun menikam, musuh pun tumbang, timbalan Panglima Raja pun menolong, matilah musuh. tiada cacat seorangpun yang mengamuk."

Setelah tiga bulan berlabuh di Tanjung Lumpur dan Tanjung Tembeling di Kuantan, kemudian mereka kembali ke Terengganu namun sambutan yang dingin membuatkan Bendahara Siwa Raja Wan Ahmad berundur pula keluar dari Terengganu meminta perlindungan dibawah Luang Senik Mulut Merah (Sultan Muhammad II) buat beberapa lama. 

Baginda tidak ingin menyerah kalah dan tinggal mereput kerana baginda sudah bersumpah di penghujung Perang Orang Kemaman sebelumnya untuk mengalahkan kakanda baginda dan tidak akan membiarkan Pahang aman selagi azam baginda tidak tertunai. 

Pada ketika ini Che Endut dan panglima-panglima lain tinggal di perairan Kemaman mengawal keselamatan bonda dan isteri baginda dan menahan Encik Wan Abu Bakar Temenggong Johor daripada mengambil gundiknya yang berada didalam kumpulan wanita tersebut.

3) Perang Temai

Fasa terakhir Perang Saudara Pahang tertumpu pada kempen pertempuran di Temai atau Perang Temai yang berlanjutan ke kawasan hilir Pahang. Pasukan Bendahara Siwa Raja yang menggulung dari hulu Kelantan dan Terengganu diapit oleh pasukan yang masuk dari Kuala Pahang dari pesisir Terengganu.

Setelah mendapat titah perkenan para panglima armada laut pun mula mudik berkubu di Pulau Pelak bersama-sama Encik Wan Ahmad Teluk Belanga, Encik Hamid Batu Pahat, Encik Mat Akil, Khatib Bahrain, dan Pak Hitam Latif. Pertempuran selama tiga bulan berlaku di Pulau Kepayang dan Pulau Rumput menghilir dan pasukan dari hulu mula menguasai keadaan. 

Beberapa buah tongkang dan perahu kakap pasukan Bendahara Wan Ahmad mudik bersama Panglima Raja Che Endut. Beliau kemudian mendarat dan mara melalui jalan darat berkubu di Temai dan menyaksikan peristiwa kubu yang meletup terbongkar akibat dibom dari terowong bawah tanah yang dikorek orang Rawa. 

Beliau berjaya mempertahankan kedudukannya. Pasukan ini kemudian dipecahkan kepada dua sebagai 'diversion', satu bertahan di Temai manakala satu lagi memintas Temai untuk terus menawan bandar Pekan.

Tiga saf disediakan dan saf Che Endut Panglima Raja ditugaskan untuk mendapatkan Kubu Tanjung Parit yang merupakan kubu utama bandar Pekan yang dikawal oleh Panglima Besar orang Bendahara Seri Maharaja. Setelah mendarat di Parit dengan jayanya secara tiba tiba beliau diserang hendap tatkala melalui sebatang lorong yang berpagar. Beliau sempat diselamatkan oleh Encik Dolah orang Pedah. 

Encik Dolah ini berkemungkinan besar ada kaitan dengan isteri beliau iaitu Che Selimah binti Tok Ismail orang Pedah. Tok Ismail berkemungkinan orang yang sama yang muncul dalam Hikayat Pahang yang membantu ekspedisi angkatan Bendahara Ahmad menghilir dari hulu turun ke Temai. Beliau banyak membantu memintas kubu musuh dan memotong lintangan balak yang ditebang musuh untuk melengahkan kemaraan pihak di hulu. Pahang akhirnya jatuh ke tangan panglima panglima Bendahara Wan Ahmad dan baginda dipersilakan untuk masuk ke Pekan bersemayam setelah perang taktikal yang sangat dahsyat dan lama dalam sejarah Pahang.

Berkat jasanya dalam perang yang berjaya merampas Pahang dari pihak Bendahara Seri Maharaja Wan Mutahir ini Che endut telah mendapat gelar kurnia sebagai Imam Perang Raja Panglima Raja menggantikan Imam Perang Raja Encik Komeng yang baru meninggal. 

Menurut Hikayat Pahang: "Encik Endut Panglima Raja orangnya sangat berani, halus bahasa, lemah lembut lakunya, raja sangat kasih kepadanya malah digelar Imam Perang Encik Endut, ganti imam perang yang meninggal"

Bertitik tolak dari kekalahan di Pahang maka Bendahara Wan Mutahir yang berundur dalam perjalanan ke Tanjung Puteri mangkat di Sedili dan dua puluh ribu orang Pahang berlindung keluar di kawasan di antara Endau dan Johor dalam jumlah beribu-ribu perahu kecil besar membawa keluarga. Namun ramai yang kembali setelah itu apabila titah kurnia ampun dimasyhurkan dan biaya cukai dagang tidak dimansuhkan selama tiga tahun untuk merawat ekonomi Pahang kembali. Imam Perang Raja Che Endut dan Tok Syahbandar dititahkan untuk membawa kembali adinda baginda iaitu Engku Ngah dan Engku Chik yang datang kembali ke Endau dari Johor.

Setelah tamat Perang Saudara Pahang negeri itu telah menyaksikan peristiwa peristiwa serangan gagal daripada Temenggong Johor keatas Pahang (peristiwa kapal api meledak) dan Terengganu (keramat Terengganu ditembak peluru tidak meletup), dan terlibat dalam peristiwa kejayaan Johor meraih separuh wilayah Endau.

4) Perang Saudara Selangor

Johor menjadi pusat gerakan menggulingkan kerajaan Bendahara Wan Ahmad namun ancaman paling besar datang daripada usaha anak-anak Almarhum Bendahara Seri Maharaja yang cuba membangkitkan penentangan dari Hulu Selangor dan Hulu Pahang yang menjadi rentetan sebelum pecahnya Perang Saudara Selangor. 

Ketika ini, Tunku Kudin yang menjadi wizurai atau wakil mutlak Sultan Abdul Samad mudik melalui Kuala Kubu Bharu melangkah ke Raub dan turun ke Pekan bertemu Bendahara Wan Ahmad untuk meminta bantuan ketenteraan yang diperkenankan baginda. Pahang bersiap siaga untuk menduduki Selangor.

Perang saudara ini menyaksikan penglibatan para pembesar dan panglima hulubalang Pahang berusaha memadamkan penentangan orang-orang Rawa Mendailing, putera putera Bugis Selangor dan pahlawan Syarif Masahor dalam siri perang berpanjangan di kawasan genting-genting laluan, bandar-bandar perlombongan dan perang gerila di kawasan-kawasan sekitar Hulu Selangor dan Permatang Kuala Selangor.

Ketika pasukan Pahang bersiap sedia untuk melintasi Genting Tabur untuk masuk ke Selangor, pasukan Imam Perang Rasu(Tok Gajah) telah tersilap menyerang pasukan Raja Asal ketua orang Rawa di kaki Bukit Batu Tabur. Mereka berbuat demikian tanpa mengetahui bahawa Raja Asal mulanya hendak bersekutu dengan pasukan Pahang namun nasi sudah menjadi bubur. 

Pasukan Pahang yang berkumpul di Bentong dalam jumlah ribuan hulubalang dan datuk-datuk ketuaan Imam Perang Raja Che Endut terpaksa menghadapi masalah ini kerana dengan kehilangan sekutu di Hulu Kelang maka bekalan makanan dari orang setempat keturunan Rawa-Mendailing akan menjadi sukar. 

Ini terbukti apabila semua pertempuran di sekitar Gombak, Kuala Lumpur dan Ampang terpaksa menghadapi situasi keputusan bekalan makanan dan ubat yang teruk selama setahun peperangan tersebut berlangsung. Setelah beberapa pertempuran pasukan Imam Perang Raja Che Endut dititahkan pulang melalui jalan laut manakala Imam Perang Rasu melalui genting ke Bentong.

Angkatan Pahang kembali semula di bawah pimpinan yang sama dan bergabung dengan pasukan Tunku Kudin kemudian kembali ke Pahang membawa tawanan. Orang Kaya Semantan (Tok Bahaman) diarahkan tinggal mengawal pekan Hulu Kelang (Ampang). Pada kempen ini Che Endut cedera di betis namun beliau dikurniakan gelaran dinaikkan kepada Imam Perang Indera Mahkota, adiknya digelar Imam Perang Johan Perkasa manakala seorang kerabat mereka orang asal Jambi digelar Imam Perang Jambi. Imam Perang Rasu dinugerahkan gelaran Imam Perang Indera Gajah(Tok Gajah).

Serangan seterusnya berlaku apabila Imam Perang Indera Mahkota datang melalui jalan laut menyerang Kanching bersama orang-orang datuk-datuk Pekan dan anak-anak raja Pahang. Adik beliau serta Encik Abdullah Bera menjadi timbalan. Pasukan kedua yang bergerak di hulu dan darat diketuai oleh Imam Perang Indera Gajah dan pasukan ketiga diketuai Tunku Kudin. 

Armada Tunku Kudin dan Che Endut mara dari Kelang dan Langat ke arah Kuala Selangor menyerang puluhan kubu pertahanan yang berada di Tanjung Karang, Ujung Permatang dan Pangkal Permatang dan Kubu Masjid. Peperangan yang sengit meletakkan kedua dua pihak di kedudukan seri. Imam Perang Che Endut pada ketika ini tidak sihat lalu diberi kebenaran oleh Tunku Kudin untuk kembali ke Pahang dan mendapatkan rawatan di Melaka dalam perjalanan. Tunku Kudin meminta bantuan gantian daripada Orang Kaya Temerloh dan Kubu Bukit Kuala Selangor akhirnya pecah ditawan orang-orang Pahang.

Perang Saudara Selangor berakhir dengan kempen Kuala Selangor pada tahun 1874 dengan kemenangan yang besar dipihak Tunku Kudin dan Pahang mendapat imbalan hutang perangnya dengan Selangor melalui pendudukan para pentadbirnya di bandar bandar utama Selangor buat beberapa lama. 

Kos yang ditanggung pihak Pahang menurut perjanjian antara Bendahara Pahang dengan Tunku Kudin dibayar dengan hasil kutipan cukai di penempatan penempatan perlombongan dan pelabuhan tersebut. Wakil-wakil Pahang di sana ialah Syeikh Mohamad Taib di Kelang, Tuan Haji Mohamad Nor di Ulu Selangor dan Encik Engku Da anak Bendahara Wan Mutahir juga anak saudara Bendahara Wan Ahmad mentadbir di Bandar Kuala Selangor di Pesangan.

5) Penubuhan Pahang Moden

Imam Perang Indera Mahkota dan Engku Andak sepulangnya ke Pahang kemudian telah dititahkan untuk mendamaikan pihak yang bertelagah di pihak waris waris Tok Perba Jelai di Hulu Pahang dan seterusnya Pahang secara relatifnya aman makmur. Kemudian daripada itu Bendahara Siwa Raja ditabalkan sebagai sultan Pahang di Pekan hasil sumpah setia pada tahun 1881 oleh datuk datuk dan imam perang dua orang yang besar iaitu Imam Perang Indera Mahkota dan Tok Imam Perang Indera Gajah. 

Kedua-dua tokoh ini dapat dikatakan sebagai 'warlord' yang paling berkuasa di Pahang dan 'king-maker' yang berdiri di samping sultan. Mereka dapat dikatakan sebagai jeneral yang paling berpengaruh setaraf dengan jeneral jeneral perang Temenggong Johor.

Imam Perang Indera Mahkota dan Imam Perang Indera Gajah juga bertanggungjawab sebagai ahli sidang pembesar yang menerima triti persahabatan dengan Inggeris melalui usaha Frank Swettenhan dan kemudian menjadi dua wakil khas sultan ke Singapura untuk menandatangani penerimaan perjanjian persahabatan dengan perletakan ejen British iaitu Tuan Clifford. 

Kunjungan balas Inggeris bagi penyempurnaan triti pernaungan juga telah ditandatangani oleh dua orang pembesar ini sebagai wakil sultan di Pekan disaksikan oleh datuk datuk pembesar Pahang yang lain.

Pada tahun 1887 Pahang telah dipaksa untuk menerima seorang residen Inggeris. Dinyatakan bahawa Tok Gajah dan Tok Indera Mahkota Che Endut merupakan dua pembesar yang memberi nasihat pemutus kepada Sultan Ahmad kerana menurut mereka kuasa Inggeris memang sudah tidak terlawankan.

"Ampun bersira ampun mudah mudahan amanlah kita daripada sekelian seteru, terlebih maklumlah gobemen Inggeris orang yang kuat kuasanya. Di dalam pada itu terpulangkah pada ke bawah duli semuanya" kata imam perang berdua”.

Kenyataan ini sebulat suara dipersetujui oleh segala orang besar berempat, kata mereka "ampun duli tuanku, patik semua sangatlah bersetuju bagaimana sembahnya saudara patik imam perang kedua itu, kerana dialah jeneral peperangan, telah termaklum keadanya.."

Pada tahun 1888 J.P. Rodger hadir buat pertama kalinya dalam tugas memantau dan campurtangan bidang pengurusan negeri Pahang.

Gambar Imam Perang Indera Mahkota yang masyhur muncul pada tahun 1890 ketika beliau di Singapura bersama Tengku Besar Mahmud (kemudian sultan, hidup 1868-1917) dan Sultan Abdul Samad sempena menyambut lawatan Duke of Connaught dari England. Gambar kedua beliau muncul lebih kurus dan uzur pada tahun 1897 bersama pengiring pengiring Sultan Ahmad I. Pengaruh beliau yang besar di hari tuanya dapat dilihat apabila beliau berdiri di posisi yang sama di mana baginda sultan duduk, diapit oleh para pengiring hulubalang.

6) Perang Pemberontakan Pahang

Nama beliau tidak muncul dalam Hikayat Pahang tatkala pecah Perang Pemberontakan Pahang dibawah pimpinan Orang Kaya Semantan Tok Bahaman, Imam Perang Indera Gajah (Tok Gajah) dan Mohamad Kilau sekitar 1890 hingga 1895 berkemungkinan beliau sudah sakit dan tak dapat turun langsung ke medan perang, namun terbukti beliau masih hidup memandangkan beliau masih muncul dalam gambar tahun 1897. Mungkin juga beliau memilih untuk mengundurkan diri kerana tidak mahu berseteru bunuh membunuh sesama sahabat seperjuangan beliau.

7) Legasi

Adalah tidak dapat dinafikan bahawa pada ketika itu Che Endut merupakan orang kedua paling berkuasa di Pahang selepas Duli Yang Maha Mulia Sultan termasuk dalam mempengaruhi keputusan pentadbiran dan pengaruh ini diwarisi pada anak cucunya yang terus memegang tampuk pentadbiran pengurusan istana, politik kepartian UMNO dan pentadbiran awam negeri Pahang seperti majlis majlis autoriti tempatan seperti MPK dan lain lain.

Imam Perang Che Endut dikuburkan di Makam Diraja Kampung Marhum, Pekan meninggalkan ramai zuriat hasil perkahwinan dengan Che Salimah Pedah dan Che Dara Kampung Marhum. Anak anak beliau yang diketahui ialah:

Tok Long Che Lah
Tok Long Che Pah
Tok Besar Abu Bakar (Tok Setia Jaya Setiausaha Sultan, Penghulu Kuala Kuantan)
Tok Andak Musa
Tok Anjang Osman (Orang Kaya Indera Syahbandar, gelaran sementara sebelum dikembalikan semula kepada keluarga Tun Razak)
Tok Sulaiman
Tok Chik Ja'far (Penghulu Beserah)
Tok Pulau Afifah
Tok Putih Sefiah
Tok Busu Halimah 
Tok Encik Aminah
Tok Taifah
Tok Zainab
Tok Isa
Tok Cik Itam

Pada hakikatnya gelaran Indera Mahkota merupakan satu pangkat kemuliaan yang tertinggi dianugerahkan kepada beliau memandangkan jasa bakti beliau selama hampir 50 tahun kepada kerajaan Pahang dan beliau mendapat amanah mentadbir daerah Kuantan selaku kawasan pemakanan tunggal raja-raja Pahang.

Bissirril Al-Fatihah

Tengku Daeng Mawelle

No comments:

Post a Comment