Monday, January 11, 2010

DARI BUNGA TERBITNYA BUAH

Sungguh rugi pesilat yang hanya tahu menghafal bunga, Tetapi tidak tahu rahsia yang terkandung di dalamnya. Bunga silat adalah tarian para Hulubalang suatu ketika dahulu Tetapi ianya bukanlah semata tarian, Setiap bunga yang dipersembahkan mengandungi rahsia yang tersembunyi. 

Bangsa Melayu tinggi adabnya walaupun ketika bertarung, Adakalanya bunga dimainkan sebelum atau ketika pertarungan untuk menunjukkan pesilat menghormati pertarungan. Bangsa Melayu menyanjung tinggi adab dan budi bahasanya. Dalam sopan orang Melayu ada kerasnya. Seperti bunga silat, indah lembut berseni geraknya tersimpan gerakan rahsia yang membunuh.

"Gerak silat asalnya Ilham
Lalu disimpan di dalam Bunga
Dari bunga terbitnya Buah"

Manusia diberikan naluri untuk mempertahankan diri dan menyelamatkan diri dari bahaya, Kita ini adalah sebaik-baik ciptaan-Nya. Setiap gerakan  berdasarkan naluri yang sukar dijelaskan dan bukannya gerakan sembarangan.  

Ilham ini datang dalam pelbagai cara seperti mimpi, sumber dari pertapaan dan pemerhatian terhadap gerak binatang. Sumber ilham hakikatnya ini datang dari Pemberi Ilham (Rujuk Sifat 20). Ianya dizahirkan dengan pergerakan seni yang dinamakan Bunga. 

Setiap Gerakan memiliki pelbagai maksud tersirat dan dari asas gerak ini munculnya gerakan menepis, gerakan tapak, tumbukan, mengunci, menjatuhkan lawan, melangkah dan sebagainya. Gerak abstrak ini dipercayai menyimpan pelbagai gerak rahsia dan beribu buah.

"Setiap gerak ada seni, Setiap seni ada rahasia, Setiap rahasia ada rahasia, Hanya yang bergerak dan digerak yang mengetahui erti gerak-Nya"

Tengku Daeng Mawelle

No comments:

Post a Comment