Asyik sembang Bab Silat kita sembang bab puasa pulak. Persiapan diri dalam mengharungi Ramadhan yang akan tiba pada (6hb Mei atau1 Ramadhan) amatlah penting agar kemulian dan Keistimewaan bulan Ramadhan tidak berlalu begitu sahaja. Kita tidak mahu menjadi golongan yang sekadar mendapat lapar dan dahaga, tetapi kita perlu mencapai hakikat yang dikehendaki Allah.
Pada maqam Syariat, kita menahan diri dari makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkannya. Pada maqam Tarekat, kita berpuasa pada qalbi dengan menghilangkan ingatan yang lain, hanya kepada Allah semata-mata serta memelihara gerak nafsu, pandangan, pendengaran, perkataan, perbuatan dari perkara-perkara yang diharamkan.
Puasa pada martabat Hakikat, menenggelamkan diri dalam kecintaan dengan berpuasa cinta yang lain melainkan hanya pada Allah dan Rasul. Manakala puasa pada maqam Makrifat ialah dengan membuka cahaya Syuhudiah pada mata hati sehingga berpuasa dari memandang yang lain melainkan Allah.
Puasa pada perut adalah amalan syariat, diamalkan pada bulan ramadhan. Puasa pada qalbi, ruh dan sirr adalah amalan para Salik, Ahli Khawwas, Ahli Khawwas al-Khawwas yang tiada baginya bulan tertentu, diamalkan sepanjang kehidupan mereka demi menyempurnakan maqam kehambaan.
Sesungguhnya Ramadhan adalah bulan mendalamkan perasaan Kehambaan, Syukur dan Cinta!
Cukuplah wahai sahabat menghitung-hitung amal dan bergembira dengannya. Allah tiada memandang pada bilangan amal yang zahir semata-mata, melainkan memandang kepada hakikat yang dicapai pada qalbinya.
Apa maknanya amal tanpa mencapai hakikat kerana ia tiada akan membawa apa-apa perubahan jiwa dalam mencapai kehambaan. Jangan jadikan puasa sebagai ritual ibadah semata-mata, namun hendaklah masuk ke pintu Ramadhan bagaikan masuk ke pintu madrasah pembinaan rohani untuk menghasilkan iman yang bergetar hatinya apabila menyebut nama Allah.
Madrasah Ramadhan, masuknya melalui pintu kerahmatan dan keluar melalui pintu keampunan sehingga menemui mutiara ketakwaan. Mutiara takwa disematkan ke dalam qalbu dalam setiap detik nafas kehidupan sehingga memancar kilauannya yang membawa kepada lautan dzauk, asrar, hal, fana dan maqam.
Titiskan air mata bersama dengan taubat penyesalan kerana tiada menghargai Ramadhan yang menjelma dalam kehidupan yang lalu. Sematkan azam, kuatkan hemah agar kali ini kita dapat mencapai mutiara-mutiara yang indah dalam rahsia lautan Ramadhan kurnia Dzat Yang Maha Agung.
Tengku Daeng Mawelle
No comments:
Post a Comment