Pada penghujung tahun 60’an, di negeri Pahang heboh dengan kemunculan semula orang-orang tua lama. Tahun itu dianggap sebagai tahun orang-orang tua lama kerana kemunculan mereka ada kaitannya dengan sejarah tanah air. Mereka keluar dengan cara lama serta bertutur dengan bahasa Melayu lama.
Walaupun mereka semua sudah dimamah usia dan berusia melebihi 100 tahun tetapi mereka masih mampu bercerita kisah-kisah silam terutamanya peristiwa-peristiwa yang berlaku di zaman penentangan Tok Gajah, Datuk Bahaman, Mat Kilau dan sahabat-sahabat seperjuangan terhadap Inggeris.
Kemunculan semula Mat Kilau dengan pengakuan sumpahnya bahawa beliau adalah Mat Kilau anak Tok Gajah atau Imam Rasu ketika di Masjid Pulau Tawar, Jerantut, Pahang pada 26 Disember 1969 telah mengemparkan seluruh masyarakat malaysia terutamanya orang-orang Melayu di negeri Pahang.
Kemunculan yang tidak diduga dan tidak disangkakan itu amat mengejutkan kerana Mat Kilau telah pun diisytiharkan mati sebelum ini. Beliau bersama para pengikutnya telah beberapa kali berperang dengan tentera Inggeris dan tentera Siam di sekitar negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan. Sekitar tahun 1895, beliau dilaporkan hilang dan didakwa telah terbunuh di sempadan Kelantan-Siam dalam laporan Pemangku Residen British di Pahang iaitu D. H. Wise. ‘Jenazah’ beliau telah ‘dikebumikan’ di Kampung Bunut Payung, Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1895. Sejarah yang telah ditulis terpaksa diperbetulkan kerana amat tidak bertepatan dengan peristiwa yang telah berlaku.
Berikutan isu tersebut, kerajaan Pahang telah membentuk Jawatankuasa Menyiasat Munchul-nya Mat Kilau pada awal bulan Januari 1970 yang dianggotai oleh enam orang anggota jawatankuasa dan diketuai oleh Dato’ Abdul Aziz Ahmad atas perkenan kebawah duli Sultan Pahang ketika itu. Beberapa hari selepas mesyuarat pertama jawatankuasa tersebut, tahap kesihatan Mat Kilau tiba-tiba merosot yang menyebabkan beliau tidak boleh bercakap dengan cara yang boleh difahami umum dan pergerakannya menjadi terbatas. Dikatakan perkara tersebut berlaku kerana Mat Kilau telah melanggar sumpah yang dibuat bersama-sama rakan seperjuangannya supaya tidak mendedahkan identiti dan kisah mereka kepada umum. Selain mat siam, Mat kilau juga pernah memakai Nama lain iaitu Mat Dahan, Mat Dadu, Mat Teoh dan Din. Tujuannya untuk menyorok identiti sebenarnya kerana diburu pihak British.
Kajian terperinci telah dilakukan bagi mengesahkan kebenaran pengakuan Mat Siam itu. Mana-mana individu yang ada kaitan dengan Mat Kilau dipanggil termasuklah sanak saudara, anak-anak murid, sahabat- sahabat seperjuangan, individu-individu tertentu dan sebagainya lagi. Pengakuan mereka diperlukan bagi menambah bukti- bukti kukuh sebelum jawatankuasa itu boleh membuat keputusan sama ada Mat Siam itu adalah Mat Kilau.
Sahabat-sahabat seperjuangan Mat Kilau seperti (Mat Saman bin Sulaiman atau Mat Kelantan) dan (Raja Ibrahim bin Tan Kechik atau Pak Him) serta (Maimunah binti Mat Salleh atau Mek Munah) yang mengenali Mat Kilau turut dipanggil juga. Hanya mereka sahaja yang masih ada bagi membuktikan pengakuan Mat Siam itu. Mereka diundang khas bagi membuat pengecaman terhadap Mat Siam di Pusat Pertanian Paya Besar, Batu 5, Jalan Gambang, Kuantan.
Mat Kelantan yang sudah mengaku menjangkau usia 152 tahun yang tinggal di Kampung Banir Belakong, Bukit Ibai, Kota Bharu merupakan sahabat seperjuangan Mat Kilau sewaktu meletus perang menentang Inggeris di Kuala Tembeling pada tahun 1894. Beliau pernah berguru dan bertukar-tukar ilmu kepahlawanan Melayu dengan Mat Kilau.
Pak Him yang sudah berusia 110 tahun yang tinggal di Batu 30, Jalan Kuala Krai, Machang pernah mengangkat senjata bersama Mat Kilau dan Mat Kelantan sewaktu perang di Kuala Tembeling. Beliau juga sempat berguru dengan Mat Kilau dan Tok Bahaman. Mek Munah, 95 yang tinggal di Pasir Nering, Kuala Berang, Ulu Terengganu pernah bertemu Mat Kilau kerana Mat Kilau dan Tok Gajah pernah ke rumahnya. Mat Kilau dan Tok Gajah juga pernah tinggal di kampung Mek Munah sebelum Tok Gajah meninggal dunia dan dikebumikan di kampung tersebut.
Walaupun sudah hampir 75 tahun mereka tidak bertemu, akhirnya pertemuan bersejarah yang diaturkan dapat menemukan mereka semula. Mereka semua sudah uzur termasuklah Mat Kilau sendiri. Mat Kelantan walaupun sudah hilang penglihatannya tetapi apabila dengar saja orang sebut Inggeris beliau lantang bersuara melepaskan geramnya terhadap penjajah tersebut. Hasil dari pertemuan itu, Mat Kelantan, Pak Him dan Mek Munah membuat pengakuan bahawa Mat Siam yang berada di hadapan mereka adalah sebenarnya Mat Kilau.
Walaupun Mat Kelantan tidak dapat melihat tetapi dengan meraba-raba tubuh Mat Kilau beliau dapat mengecam tanda- tanda yang ada pada Mat Kilau. Begitu juga dengan Pak Him dan Mek Munah, walaupun mereka mungkin sudah lupa akan raut wajah Mat Kilau disebabkan jarak waktu pertemuan yang agak lama tetapi mereka juga dapat mengecam tanda-tanda yang terdapat pada tubuh badan Mat Kilau itu.
Tepat jam 10:30 pagi, hari Khamis, 6 Ogos 1970, Tan Sri Hj. Yahya, Menteri Besar Pahang ketika itu mengisytiharkan bahawa Mat Siam adalah Mat Kilau, pahlawan Melayu Pahang yang menentang Inggeris pada akhir abad ke-19 berdasarkan laporan Jawatankuasa Menyiasat Munchul-nya Mat Kilau yang telah menjalankan penyiasatan teliti selama tujuh bulan.
Sebanyak 20 kali mesyuarat diadakan sepanjang penyiasatan tersebut. Laporan tersebut juga menyatakan umur sebenar Mat Kilau ketika itu bukanlah 122 tahun seperti yang didakwa (lahir tahun 1848), tetapi sekitar 106 atau 107 tahun (lahir sekitar tahun 1866 atau 1867) kerana ayah Mat Kilau iaitu Tok Gajah (Imam Rasu) hanya berkahwin dengan Teh Mahada iaitu ibu Mat Kilau selepas Perang Saudara Pahang pada tahun 1863.
Malangnya sepuluh hari selepas pengisytiharaan tersebut iaitu pada 16 Ogos 1970, jam 6:45 pagi, Mat Kilau meninggal dunia dan dikebumikan di tanah air kelahirannya, Kampung Pulau Tawar, Jerantut kerana sakit tua. Amanat terakhirnya kepada kaum keluarganya ialah “Jagalah nama baik bangsa dan negara.” Sultan Pahang yang ketika itu berada di Johor telah memerintahkan dua kaki payung kebesaran diraja warna bendera negeri hitam dan putih dipayungkan ke atas jenazah Mat Kilau.
Seluruh negara turut bersedih atas pemergian tokoh pahlawan Melayu tersebut. Ribuan rakyat Malaysia menghadiri upacara pengebumian jenazah Mat Kilau. Tun Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri ketika itu turut mengirim ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.
Tambahan cerita, ketika Mat Kilau mendedahkan dirinya ada seorang guru tua yang bernama Tok Peramu. Beliau pernah mengubati Mat kilau sewaktu uzur dan beliau berkata Mat Kilau tak pandai simpan rahsia. Tak lama lagi Mat Kilau nak matilah sebab itulah dia mengaku diri dia. Selang beberapa hari ternyata benarlah apa yang dikatakan. Persoalannya siapakah sebenarnya Tok Peramu. Bagaimana beliau boleh tahu Mat kilau akan mati selepas mengaku diri.
Secara Peribadinya bagi saya Sebenarnya Tok Guru Peramu itu adalah Dato Bahaman. Beliau rakan seperjuangan Mat Kilau tetapi beliau juga menyembunyikan identitinya seperti Mat Kilau. Dan menafikan beliau bukan Dato Bahaman, kerana telah berjanji dengan para rakan seperjuangannya agar tidak mendedahkan identiti sebenar. Nanti kita ulas mengenai ini.
Tengku Daeng Mawelle
No comments:
Post a Comment