Monday, January 11, 2010

RAJA SANG TAWAL

Berdasarkan dari Salasilah di bawah Raja Sang Tawal adalah keturunan Raja Kilatan (Kelantan). Salasilah Raja Sang Tawal bermula dari Maharaja Srimat Trailokyaraja yang juga Maharaja Bukit Siguntang (hingga 1233).

Kemudian Digantikan oleh Moyang Sang Tawal - Raja Surendra atau Maharaja Suran pemerintah kerajaan Jawaka (1233-1253). Kemudian digantikan oleh Datuk Sang Tawal pula iaitu Raja Sakranta atau Raja Zainuddin juga memerintah kerajaan Jawaka (1253-1267).

Dan kemudian digantikan oleh beliau Raja Thilam yang juga dikenali sebagai Raja Sang Tawal juga Raja Malawika yang memerintah Malayur (1267-1335).

Raja Sang Tawal Mempunyai 6 Orang Anak Iaitu:

1 - Raja Bharubhasa (Raja Langkasuka: 1335-1345) dan (Raja Kelantan 1345-1362). Nama lain bagi beliau adalah: Sultan Mahmud, Raja Chermin atau Sultan Jiddah Riayat Sa’adatus Salam.

2 - Raja Singadhiraja (Sultan Sulaiman Syah), Raja Langkasuka. 

3 - Puteri Chandana yang berkahwin dengan al-Maliku Zahir, Raja Samudera. 

4 - Puteri Tapasi (Raden Galuh Anjang) berkahwin dengan Jaya Sinha Warman, Raja Champa.

5 - Cik Siti Wan Kembang atau Arduja Wijayamala Singa - Raja Kelantan Selatan (1318-1348) 

6 - Puteri Linang Cahaya yang  berkahwin dengan Sayyid Jamadil Qubra. 

Raja Sang Tawal adalah satu nama besar dalam sejarah Melayu dan juga lebih kepada Negeri Kelantan dan Langkasuka kerana beliau telah menurunkan zuriat juga merupakan salah seorang Srikandi Melayu serta digeruni iaitu Arduja Wijayamala Singa atau lebih dikenali sebagai Che Siti Wan Kembang. 

Pada 1295, Angkatan tentera Siam yang diketuai Raja Ram Khamheang telah menyerang kedudukan Sang Tawal di Ligor menyebabkan beliau memindahkan pusat kerajaan Langkasuka berundur ke arah Selatan yakni di Patani.

Peperangan antara Langkasuka yang disebut Grahi dengan Siam adalah satu Epik yang signifikan dalam sejarah silam kerana ia menyaksikan buat pertama kali Srikandi Melayu yang juga puteri kepada Sang Tawal iaitu Arduja Wijayamala Singha atau Cik Wan Siti Kembang telah menubuhkan angkatan perang sendiri yang terdiri daripada balu dan wanita yang dikenali sebagai Sriwijayamala telah turut serta dalam perang tersebut dan berjaya memenggal kepala Raja Ram Khamheang hingga membuatkan Siam berdendam kesumat dengan orang Melayu hingga kini.

Siam sebenarnya telah mengalami evolusi dimana ia pernah dinaungi oleh Dinasti Ayuthia, Sukhothai dan diganti oleh Dinasti Chakri dan sebelum itu pernah diduduki oleh kuasa besar lain seperti Funan dan Champa serta Thambralingga, namun semuanya tidak pernah diam untuk menakluki Semenenanjung Tanah Melayu.

Sang Tawal adalah Raja yang dikenang terpaksa akur dengan kekuatan dari Utara yang menyerbu wilayahnya, mungkin kerabat beliau dari Tanah Seberang tidak sempat menghulur bantuan ekoran pergeseran dalaman kerajaan kepulauan pada masa itu. Itulah yang ditakdirkan Allah Maha Mengetahui. 

Pada 1335, Raja Sang Tawal telah mangkat dan digantikan oleh puteranya iaitu Raja Bharubhasa sebagai Raja Langkasuka yang telah menamakan negeri baru iaitu Chermin.

Kerajaan Langkasuka di bawah pimpinan Sang Tawal selama 68 tahun (1267-1335) menyaksikan mereka tidak pernah sunyi diserang oleh musuh dari Utara (Siam) yang sedang meluaskan kuasa. Dari kekalahan ini, Langkasuka telah runtuh dan penerusnya, Raja Bharubhasa telah menamakan sebuah Kerajaan baru yang bernama Chermin, janggal ditelinga, tetapi itulah yang sentiasa dikhabarkan turun temurun rakyat Kelantan. Wallahua'lam

Tengku Daeng Mawelle

No comments:

Post a Comment